Kumpulan tuai rumah itu berkata, kenyataan Jaya yang menyatakan terdapat sebahagian tuai rumah digunakan ahli politik untuk terus kekal berkuasa menjejaskan integriti dan reputasi mereka.
Jaya membuat kenyataan itu seperti yang telah disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan semalam.
Menurut kumpulan itu, kenyataan Jaya itu menunjukkan beliau tidak mempunyai integriti dan tidak dapat membuat keputusan dalam memilih pemimpin serta menyokong calon Barisan Nasional (BN) yang diumum oleh pengerusi BN Sarawak.
“Sehubungan itu, kami mahu Jaya memohon maaf secara terbuka. Jika tidak kami bercadang mengambil tindakan undang-undang untuk melindungi integriti politik di Marudi.
“Kenyataan Jaya itu menunjukkan dia sendiri tidak arif dengan realiti politik di sini,” kata mereka.
Tuai Rumah Nugak Kandau dari Sungai Laong, Bakong berkata Jaya perlu belajar menghormati dan mendapat penghormatan daripada peringkat akar umbi dan kenyataannya sebelum ini menunjukkan dia tidak matang dalam politik.
Nugak turut menafi kehadiran 43 tuai rumah dan 1,200 penduduk semasa Majlis Perasmian Pecah Tanah Rumah Budin Nawek yang turut diwakili oleh calon SPDP.
“Seluruh jiwa raga kami menyokong kepimpinan Datuk Sylvester Entri Muran yang disokong Ketua Menteri untuk bertanding semula bagi mengekalkan kerusi BN di Marudi.
“Kami tiada keraguan bahawa Datuk Sylvester akan mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.
Pendapat itu disokong Salin Abong dari Sungai Selulit, Bok dan Tuai Rumah Balang Kanyang dari Long Tuyut yang memberitahu bahawa kepimpinan Sylvester sudah terbukti dapat memenuhi aspirasi rakyat dalam membawa pembangunan di Marudi.-Utusan Borneo
Post a Comment