Kerajaan tidak layan permintaan warga pedalaman yang perlukan jalanraya


FOKUS SARAWAK: Apa yang mereka minta hanyalah sebatang jalan 6.5km untuk menghubungkan mereka dengan jalan utama.

Mereka perlukan jalan itu ekoran rancangan pembangunan kerajaan.

Namun suara 65 keluarga di pedalaman ini tidak didengari. Mereka terpaksa mengumpul sumber yang ada dan cuba membina jalan tersebut agar mereka boleh sampai ke jalan utama.

Malangnya wang mereka habis sebelum jalan sempat disiapkan. DAP akhirnya datang menghulurkan bantuan.

Inilah kesusahan yang dihadapi 65 keluarga dari Kampung Muk Ayan, Kampung Sting dan Kampung Nyegol yang terjejas dengan pembinaan empangan Bengoh.

Mereka mahu kerajaan negeri membina jalan alternatif untuk mereka ke jalan utama (jalan Kuching/Serian) di Tapah.

Mereka menulis surat beberapa kali kepada wakil rakyat mereka – MP Mambong James Dawos Mamit dan Adun Bengoh Jerip Susil – serta pihak berkuasa lain. Tetapi mereka tidak menerima apa-apa maklumbalas.

Dengan siapnya empangan Bengoh dan kesan yang dibawanya, penduduk kampung telah berpindah ke kawasan yang lebih tinggi memandangkan rumah dan jalan yang sering mereka gunakan akan mudah ditenggelami banjir.

Apabila permintaan dibuat kepada kerajaan agar membina jalan sepanjang 6.5km untuk menghubungkan tiga kampung tersebut ke jalan utama tidak mendapat apa-apa respon, penduduk kampung terpaksa mengumpul wang sejumlah RM80,000 untuk membinanya sendiri.

Kerja-kerja pembinaan bermula pada tahun 2014. Tetapi pada awal tahun ini, wang mereka sudah habis digunakan.

Pada Mei tahun ini, mereka mendengar tentang projek “Impian Sarawak” oleh DAP dan berjumpa dengan Sanjan Daik dari DAP Mambong untuk meminta bantuan bagi meneruskan projek pembinaan jalan tersebut yang merangkumi jambatan, pembetung dan sistem saliran.

Setakat ini, “Impian Sarawak” sudah membelanjakan RM160,000 untuk membina jalan alternatif itu.

Apa yang membingungkan penduduk kampung adalah di sebalik ikrar kerajaan BN Negeri untuk memberi perhatian “penuh” kepada pembangunan di kawasan pedalaman dengan peruntukan lebih RM1.1 bilion dalam Belanjawan 2015, kerajaan telah menolak permohonan mereka.

Apatah lagi kos pembinaan jalan hanyalah antara RM200,00-RM300,000 dan tiga kampung ini adalah kubu kuat BN.

Sebelum ini, penduduk kampung menggalas barangan mereka dan berjalan ke pasar terdekat seperti di Tapah.

Mimpi terburuk mereka adalah ketika perlu membawa orang sakit bagi mendapat rawatan, dan apabila perempuan mengandung terpaksa berjalan selama tiga jam untuk ke klinik terdekat.

“Namun hari ini, dengan siapnya jalan ini, penduduk kampung dapat menggunakan motosikal, pacuan empat roda dan kereta mereka untuk mengangkut barang-barang dan hasil pertanian ke kawasan bandar seperti Tapah, Siburan dan Kota Padawan. Mereka boleh membawa lebih banyak barang pada satu masa,” kata Sanjan.

Sementara itu, pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menuduh kerajaan negeri mengabaikan keperluan rakyat di pedalaman.

Keengganan kerajaan untuk membantu mereka yang hanya memerlukan RM300,000 untuk membina jalan tidak boleh diterima, sedangkan mereka boleh membelanjakan RM300 juta bagi membina empangan Bengoh.

“Amat tidak wajar untuk kerajaan negeri menolak permintaan itu. Tambahan pula kos projek hanyalah RM200,000,” kata Chong ketika merasmikan pemeriksaan projek tersebut baru-baru ini.

Untuk tahun ini sahaja, katanya, kerajaan dijangka akan membelanjakan RM1.1 bilion bagi projek pedalaman di 71 kawasan DUN. Setiap DU patut menerima sekurang-kurangnya RM1.54 juta.

“Inilah sebabnya mengapa kita membangkitkan persoalan ini di sidang Dewan Undangan Negeri, tentang bagaimana peruntukan digunakan di kawasan pedalaman.

“Kami tidak menentang pembangunan di kawasan pedalaman, tetapi perlu tahu bagaimana wang dibelanjakan,” kata Chong yang juga MP Kuching dan Adun Kota Sentosa.

Bengoh adalah salah satu kerusi DUN yang mungkin ditandingi DAP dalam pilihanraya negeri akan datang.-The Ant Daily (Joseph Tawie)

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget