Pemuda BN bina klinik untuk penduduk pedalaman


Klinik kayu dibina di Kampung Long Busang telah siap dan menunggu masa untuk beroperasi

BELAGA: Penduduk Kampung Long Busang, di sini kini menarik nafas lega selepas pembinaan klinik kayu yang dibina secara bergotong-royong oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) telah siap dan menunggu masa untuk beroperasi.

Pembinaan klinik kayu yang menelan kos sebanyak RM170,000 itu akan memudahkan lebih 1,000 penduduk yang ingin mendapatkan rawatan awal.

Sebelum ini mereka hanya bergantung kepada klinik berhampiran yang memakan masa lapan jam perjalanan menaiki bot dan kereta dari Long Busang.

Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata, kos bagi membina klinik kayu itu adalah hasil daripada bakti Pemuda BN Belaga selain sumbangan peruntukan daripada projek kecil luar bandar (MRP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Liwan Lagang.

“Dengan kos RM170,000, klinik kayu ini berjaya disiapkan hasil kerjasama ahli Pemuda kita (BN) secara bergotong-royong.

“Buat masa kini, kita akan meminta Kementerian Kesihatan menempatkan pegawai perubatan serta peralatan rawatan yang diperlukan dan bersesuaian di sini,” katanya pada sidang media di sini, Jumaat lalu.

Beliau mengetuai rombongan kira-kira 200 orang ke Long Busang dengan menaiki bot dari Empangan Bakun bagi menghadiri program Pemuda BN untuk komuniti di Belaga.

Pada masa sama, beliau berkesempatan melancarkan Hari Sukan Negara selain mengadakan dialog dengan pemimpin masyarakat di kawasan berdekatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy memberi jaminan bahawa akan lebih banyak program diadakan oleh Pemuda BN bagi mendekati masyarakat khususnya di pedalaman.

“Ini merupakan satu permulaan, saya sendiri merasai pengalaman menarik yang membuka mata saya selepas lebih 12 jam perjalanan untuk sampai ke sini,” katanya.

Terdahulu, Liwan berkata sebelum ini, penduduk di Long Busang pernah memiliki klinik kesihatan namun ia telah tenggelam selepas Empangan Bakun siap dibina.

“Sejak peristiwa itu, penduduk yang rata-ratanya adalah kaum Kenyah mendapatkan rawatan kesihatan di klinik yang paling dekat, itu pun memakan masa lapan jam perjalanan.

“Bagi kes yang lebih serius, kami terpaksa terbangkan doktor bersama ubat-ubatan ke mari,” jelasnya sambil menambah, penduduk Belaga merupakan penyokong kuat kerajaan BN sejak dahulu lagi dan berharap keperluan serta kebajikan masyarakat di Belaga menjadi keutamaan daripada pihak menteri.

Khairy merupakan satu-satunya menteri daripada kerajaan pusat yang telah sampai ke Long Busang, di mana ia mempunyai lebih 1,000 penduduk dengan 250 daripadanya adalah beragama Islam.

Difahamkan, perjalanan ke Long Busang dari pekan Kapit memakan masa selama lapan jam menaiki kenderaan pacuan empat roda menggunakan jalan balak atau selama 12 jam dengan menaiki bot.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget