Apa untuk masyarakat Dayak dalam Rancangan Malaysia seterusnya?


KOMEN: Masyarakat Dayak di Sarawak sudah pun terlepas peluang untuk membangun dalam aspek sosial, ekonomi dan pendidikan di bawah 10 Rancangan Malaysia – selama kira-kira 50 tahun.

Rancangan Malaysia pertama dilancarkan pada 1966 – tiga tahun selepas pembentukan Malaysia. Ia berakhir pada 1970.

Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) akan berakhir pada hujung tahun ini.

Keadaan hidup orang Dayak sama seperti 50 tahun dahulu – kurangnya jalan perhubungan, bekalan elektrik dan air bersih, klinik dan juga sekolah.

RMK seterusnya – RMK11 – akan dilancarkan pada tahun hadapan. Ia merupakan tolakan terakhir untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Bagi hampir dua juta orang Dayak di Sarawak yang berpopulasi 2.6 juta, wujudkah apa-apa program khas untuk membantu meningkatkan keadaan sosioekonomi mereka, walaupun sentiasa menjadi “sandaran” bagi BN dalam setiap pilihanraya umum?

Atau mereka sekali lagi akan ketinggalan “bas”?

Nampaknya begitulah, jika kita mendengar syarahan tentang perspektif Dayak dalam RMK11 oleh Profesor Madya Dr Madeline Berma dari fakulti ekonomi dan pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Seminar berhubung RMK11 ini diadakan pada 26 September lalu oleh Persatuan Graduan Dayak Malaysia. Timbalan Pengarah 1 Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Mothu Kothandabhany turut memberi taklimat berhubung tumpuan dan pacuan strategik RMK yang seterusnya ini.

Madeline bercakap tentang RMK tersebut dari perspektif Dayak. Menurutnya, keadaan komuniti itu tidak banyak meningkat sejak RMK-RMK yang lalu.

“Memang ada orang Iban yang kaya seperti Linggi Jugah yang memiliki bangunan Tun Jugah, tetapi berapa ramai orang sepertinya di luar sana. Kekayaannya tidak boleh mewakili ratusan ribu orang Iban di Sarawak yang miskin,” katanya.

Katanya lagi, antara sebab mengapa masyarakat Dayak ketinggalan adalah kerana mereka dikategorikan bersama-sama orang Melayu sebagai “Bumiputera”. Di bawah kategori ini, mereka kelihatan mendapat manfaat daripada pelbagai program, tetapi hakikatnya tidak begitu.

“Anda dapat lihat Orang Asal sebagai satu komuniti jauh ketinggalan dengan orang Melayu, India dan Cina dalam menikmati hasil ‘buah merdeka’ ini, apatah lagi untuk menikmati hasil pembangunan rancak yang dialami Malaysia,” katanya lagi.

Dalam ucapannya bertajuk “Memperkasakan Dayak dalam pembangunan sosioekonomi dalam RMK11”, beliau berkata bahawa rancangan tersebut langsung tidak menyertakan apa-apa penekanan khusus untuk membantu masyarakat Dayak.

“Sementara masyarakat India memiliki ‘pelan pembangunan khas’ di bawah RMK11, tiada apa-apa untuk masyarakat Dayak kecuali dalam soal hak tanah adat (NCR).

“Ini bukanlah perkara besar. Rancangan ini merupakan kekecewaan besar buat masyarakat Dayak,” katanya lagi sambil menambah isu orang Dayak bukan sekadar tanah NCR semata-mata.

Mereka mahukan lebih banyak peluang perniagaan dan penyertaan ekuiti, biasiswa, kursus ijazah khusus seperti perubatan; mereka juga mahukan jalan, sekolah dan kemudahan-kemudahan lain.

Mereka mahukan peluang sama rata untuk bekerja dalam perkhidmatan awam dan lantikan dalam jawatan yang lebih tinggi.

“Sekarang anda hanya lihat satu kaum dalam jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.” Katanya lagi, memang jarang untuk melihat penjawat awam Dayak dalam jabatan-jabatan tersebut.

Beliau mencadangkan agar RMK11 menjadi lebih inklusif, dan tidak ada pendekatan ‘ad hoc’ dalam isu-isu Orang Asal.

Katanya lagi, inklusif bermaksud satu proses di mana usaha dibuat bagi memastikan peluang sama untuk semua tanpa mengira latar belakang, agar mereka dapat mencapai potensi sepenuhnya dalam kehidupan, serta membolehkan penyertaan aktif dan penuh oleh setiap anggota masyarakat dalam semua aspek kehidupan.

Ini bermakna sebuah masyarakat yang mana semua anggotanya merasakan mereka mempunyai peranan, mempunyai akses terhadap keperluan asas, dan mendapat peluang untuk terbabit dalam proses membuat keputusan yang berkaitan dengan kehidupan mereka.

Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan objektif RMK memiliki sasaran khusus, serta pembahagian peluang secara sama rata dalam aspek ekonomi, pendidikan dan sumber bagi pertumbuhan yang mapan dan inklusif.

Beliau turut mencadangkan laporan tahunan berhubung pembangunan Orang Asal dan menambah, “pemberdayaan sosioekonomi bermaksud pewujudan sebuah perbadanan pembangunan Orang Asal”.

“Selagi Orang Asal tertinggal di belakang, kita tidak boleh mengatakan yang Malaysia boleh dijadikan negara contoh. Dan dunia sedang memerhati kita,” katanya lagi. Beliau menutup ucapannya dengan petikan kata-kata mendiang Tun Jugah, salah seorang bapa pengasas Malaysia.

“Anang Malaysia baka tebu manis ba pun, tabar di ujung” (Manis pada permulaannya, tetapi semakin tawar ketika menghampiri hujung).-The Ant Daily(Joseph Tawie)
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget