Tiada kesudahan

Kampung Usahajaya terus dilanda banjir kilat, penduduk dihantui kebimbangan setiap kali hujan lebat.


SIBU: Hujan lebat hampir dua jam tengah hari semalam menyebabkan kawasan rendah di Kampung Usahajaya, Jalan Sentosa Salim ditenggelami air sedalam dua kaki.

Banjir kilat berlaku itu bagaimanapun bukan sesuatu baharu bagi penduduk kampung memandangkan ia kerap berlaku setiap kali hujan lebat turun.

Menurut penduduk kampung, Jamil Busran, kawasan kampung terlibat adalah sebahagian Fasa 1 dan Fasa 2 Kampung Usahajaya.

“Kawasan yang teruk terjejas ialah Lorong Sentosa 2, Lorong 6 dan Lorong 8. Banyak kediaman dua tingkat dimasuki air terutama tingkat bawah,” katanya kepada pemberita, semalam.

Jamil memberitahu, ini bukan kali pertama banjir kilat berlaku, malah berlaku hampir setiap tahun terutama pada hujung dan awal tahun ketika musim tengkujuh.

Pada penghujung tahun 2014 dan awal tahun ini, penduduk kampung terbabit turut ditimpa masalah yang sama sekaligus menyukarkan kehidupan mereka.

Menurut Jamil, kejadian banjir kilat yang berlaku semalam agak teruk berbanding kejadian sebelum ini.

“Jika banjir kilat ini berterusan, ia menyukarkan semua penduduk terjejas. Jika hujan lebat turun, penduduk yang terlibat pasti akan berasa bimbang,” tegasnya yang tinggal di Lot 725, Lorong Sentosa 8.

Beliau percaya kejadian berlaku akibat pembangunan yang berlaku di kawasan berhampiran kampung, selain masalah perparitan yang tidak sempurna dan jalan yang mendap.

Sebagaimana kejadian akhir tahun lepas, air banjir ini menenggelamkan jalan dan kawasan kediaman penduduk sehingga seminggu, sebelum air surut beransur-ansur.

Keadaan ini memaksa penduduk kampung menggunakan sampan bergerak ke kawasan lebih tinggi, terutama ketika menghantar anak ke sekolah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, Sim Kok Kee berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian banjir kilat terbabit.

“Kita akan memantau keadaan banjir ini dari semasa ke semasa, selain berusaha mencari jalan penyelesaian,” jelasnya ketika dihubungi.-Utusan Borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget