Teras terdesak jual nama Adenan untuk raih sokongan


KOMEN: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dikatakan begitu terdesak untuk memenangi sokongan pengundi dan penduduk pedalaman sehingga terpaksa mempergunakan nama Ketua Menteri Adenan Satem dan Perdana Menteri Najib Razak, bagi meyakinkan rakyat, dalam pergeserannya dengan musuh ketat – Parti Demokratik Progresif Sarawak.

Hujah tipikal pimpinannya adalah presiden William Mawan Ikom berada dalam Kabinet Adenan.

Dan juga parti itu yang dibenarkan menggunakan kemudahan milik BN.

Kata mereka, jika Ketua Menteri tidak menyokong Teras, Mawan pastinya sudah digugurkan daripada jawatan Menteri Pembangunan Sosial.

Malah Mawan sendiri pernah dilaporkan berkata: “Jika kami bukan sebahagian daripada BN, bagaimana pemimpin parti mendapat kebenaran pimpinan tertinggi BN (Adenan dan Najib) untuk bercakap tentang dan menggunakan kemudahan BN, menjalankan projek kecil luar bandar (MRP) dan mengumumkan projek pembangunan BN seperti wakil rakyat BN yang lain?

“Teras adalah parti BN kerana lahir di dalam BN. Parti komponen BN hanya menunggu masa serta soal teknikal dan formaliti sebelum menerima kami,” katanya lagi.

Partinya bukan sahaja ahli BN Sarawak, tetapi “darah daging” BN kerana lahir dari dalamnya.

Dengan menggunakan taktik ini, Mawan dan pemimpin Teras lain mungkin akan berjaya memenangi hati dan minda penduduk pedalaman yang kurang tahu, tetapi ia berisiko memakan parti itu sendiri.

Menurut sumber dalam PBB, Adenan tidak gembira dengan pimpinan Teras kerana mereka telah meletakkan dirinya dalam keadaan sukar, di mana beliau akan dikritik oleh pemimpin SPDP, SUPP dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) kerana berat sebelah.

Mereka mahu beliau dibenci oleh SPDP, SUPP dan PRS yang merupakan komponen BN negeri, kata sumber itu lagi.

“Ini adalah langkah yang buruk oleh Teras, dan ia tidak sepatutnya menggunakan nama ketua menteri untuk mendapat sokongan,” kata mereka.

Benar, pemimpin Teras tidak dapat berbohong kepada orang ramai kerana hakikatnya jelas yang mereka dan juga pemimpin UPP tidak diundang dalam mana-mana acara BN.

Ketiadaan wakil rakyat Teras dan UPP dalam mesyuarat wakil-wakil rakyat BN dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kuching Sabtu lalu juga menunjukkan fakta bahawa dua parti itu bukanlah ahli BN, walau apa pun dakwaan mereka.

Selepas mesyuarat, Adenan berkata bahawa majoriti wakil rakyat BN akan dikekalkan dalam pilihanraya negeri akan datang.

Tidak disebut tentang soal masa depan lima wakil rakyat dari Teras, iaitu William Mawan Ikom (Pakan); Peter Nansian (Tasik Biru), Sylvester Entri (Marudi), Rosy Yunus (Bekenu) and Paulus Palu Gumbang (Batu Danau), dan wakil rakl rakyat UPP - Wong Soon Koh (Bawang Assan), Johnichal Rayong (Engkilili), Ranum Mina (Opar) danJerip Susil (Bengoh).

Pemuda Teras dan UPP juga tidak diundang dalam mesyuarat Pemuda BN di Ulu Belaga hujung minggu lalu.

Apakah yang ditunjukkan dengan hal ini, melainkan hakikat bahawa mereka tidak termasuk dalam BN?

Sementara itu, debat hangat berlangsung atnara pemimpin Teras dan SPDP berhubung sama ada Teras ahli BN atau tidak.

Naib Presiden SPDP Rayan Narong menuduh Mawan tidak berpijak di bumi nyata dan bersikap angkuh kerana mengabaikan pendirian bersama SPDP, SUPP dan PRS.

Tiga parti komponen BN tersebut tegas menentang kemasukan Teras dalam gabungan pemerintah.

“Kunci kepada pengekalan kuasa BN adalah perpaduan antara parti komponen. Adakah Mawan fikir BN akan memecahkan perpaduan ini hanya untuk Teras?” soal Rayan.

“Secara teknikalnya ia mustahil kerana perjanjian BN menyatakan bahawa semua parti komponen perlu bersetuju sebelum mana-mana parti diterima masuk. SPDP, SUPP dan PRS telah menyatakan dengan jelas bantahan mereka terhadap penyertaan Teras,” katanya lagi.

Berhubung dakwaan Mawan bahawa Teras lahir di dalam BN, Rayan berkata bahawa pemimpin parti itu, termasuk Mawan sendiri, telah meletakkan jawatan dalam parti komponen BN untuk menubuhkan Teras.

“Bagaimana Teras boleh lahir dalam BN apabila pemimpin dan ahlinya tidak termasuk dalam mana-mana parti komponen BN?” soalnya.

Dalam mempertahankan Mawan, pemimpin akar umbi Teras Pasang Ngelambai menuduh Rayan tidak mahu memahami bahawa rakyat mahukan calon yang mengutamakan kebajikan mereka.

Katanya lagi, BN mahukan calon yang boleh menang dan Mawan adalah salah seorang daripadanya.-The Ant Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget