Khalid Samad tidak terbabit dengan jemputan meja bulat


PETALING JAYA : Ketidak hadiran Parti Sosialis Malaysia (PSM) ke sidang meja bulat pada 22 September lalu tidak mempunyai kaitan dengan Parti Amanah Negara (Amanah).

Ahli Jawatankuasa Amanah, Khalid Samad mengulangi pendirian bahawa jemputan pembangkang ke pertemuan itu tertakluk kepada penganjur, bukan partinya.

Ia merujuk kepada dakwaan bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan bahawa dia melakukan penipuan berhubung jemputan itu.

“Pada hari Rabu 23 September, saya ditanya oleh pemberita mengapa PSM tidak dijemput untuk sidang meja bulat. Saya menjawab dengan menyatakan bahawa soalan itu sepatutnya dituju kepada penganjur, bukan kepada saya. Ini adalah kerana bukan saya yang menentukan siapa yang dijemput dan siapa tidak.

“Namun demikian, saya tambah lagi, soalan tersebut telah turut ditanya semasa sidang meja bulat diadakan. Jawapan yang diberi adalah kerana PSM telah tidak bersama dengan PR sejak dari dulu,” tulisnya menerusi entri terbarunya blognya www.khalidsamad.com.

Khalid berkata, jika diimbau kembali mengapa PSM tidak bersama Pakatan Rakyat (PR), terdapat dua versi yang berbeza mengenai perkara itu.

“Versi pertama menyatakan bahawa ianya adalah atas sebab PSM tidak bersetuju dengan sebahagian dari ‘dasar bersama PR’, khususnya penerimaan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan oleh PR.

“Versi kedua pula ialah bahawa penerimaan mereka sebagai anggota PR telah dibantah oleh Pas pada ketika itu,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua versi itu telah disebut kepada wartawan berkenaan, malangnya hanya satu versi sahaja yang dilaporkan yang kononnya daripada mulutnya.

“Sedangkan, sepertimana yang telah saya jelaskan, saya hanya menyatakan jawapan yang diberi apabila soalan itu ditimbulkan semasa sidang meja bulat.

“Walau apa pun, pada dasarnya sidang meja bulat diadakan untuk menghidupkan kembali PR yang telah berpecah. Oleh itu hanya parti yang terlibat dengan PR telah dijemput sebagai langkah permulaan,” katanya.

Tambahnya, walaupun Parti Amanah Negara (Amanah) merupakan parti baru dan bukan sebahagian daripada PR sebelum ini, tetapi anggota dan pimpinannya merupakan pimpinan Pas pada ketika itu.

“Kami dikenali sebagai pendokong tegar konsep PR dan atas sebab itu kami telah berbalah dengan pimpinan Pas sedia ada. Maka di atas dasar ini kami turut dijemput bersama.

“Hakikatnya kami telah sememangnya menjadi sebahagian dari PR sejak mula ianya ditubuhkan tetapi melalui wadah lain pada ketika itu,” ujarnya.-Free Malaysia Today

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget