Orang asal Sarawak sangsi dengan larangan empangan Adenan


KUCHING: Hampir 20,000 orang asal di 26 rumah panjang dan perkampungan di Baram yang akan menerima kesan cadangan pembinaan empangan Baram kurang yakin dengan larangan pembinaan yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem.

Bulan lalu, Adenan memberitahu orang asal di Long Lama bahawa larangan telah dikeluarkan bagi kerja-kerja pembinaan Empangan Baram.

Ketua Menteri itu sekali lagi mengumumkannya ketika ditemubual TV3 sempena perayaan Hari Malaysia pada 16 Sept lalu.

Di kedua-dua majlis, Adenan berkata pembinaan Empangan Baram belum diputuskan dan buat masa ini, kerajaannya sudi mendengar dari kedua belah pihak - mereka yang menentang dan mereka yang menyokong pembinaannya.

Orang Asal percaya larangan tersebut bersifat sementara kerana ketua menteri memikirkan pilihanraya negeri tak lama lagi. Beliau mungkin mahu mengelakkan isu pembinaan Empangan Baram digunakan pembangkang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan dan Long Lama.

Kedua-duanya serta kerusi DUN di Marudi mungkin kawasan "hitam" bagi BN berdasarkan keputusan lalu sekiranya larangan tidak dikeluarkan. Contohnya dalan pilihanraya parlimen yang lepas, BN menang dengan hanya kelebihan 194 undi.

Maka orang asal berasakan bahawa selepas pilihanraya, keadaan mungkin berbeza.

Mereka bimbang Ketua Menteri akan teruskan dengan pembinaan empangan mega ini yang dianggap projek dambaan Ketua Menteri terdahulu Abdul Taib Mahmud.

Taib merancang 12 empangan mega di negeri ini. Setakat ini, empangan Batang Ai, Bakun dan Murum telah disiapkan.

Walaupun Taib kini gabenor Sarawak, orang asal percaya dia masih berpengaruh ke atas kerajaan hari ini. Dia mampu menekan Adenan bagi menyiapkan pembinaan empangan yang lain, termasuk di Baram.


"Walaupun mengalu-alukan pengumuman larangan, orang asal berhati hati kerana terdapat beberapa isu berkaitan pembinaan yang masih belum diselesaikan.

"Isu-isu ini perlu diselesaikan sebelum orang ramai percaya keikhlasan Adenan dan kerajaannya," ujar Peter Kallang, Pengerusi rangkaian SAVE Rivers Sarawak.

SAVE Rivers, merupakan jaringan komuniti orang asal dan pertubuhan sivil di Sarawak yang menerajui penentangan ke atas pembinaan empangan sambil berjuang menegakkan hak asasi manusia.

Peter berkata orang asal meluahkan kesangsian ketika sesi dialog dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Long San, awal bulan ini.

Katanya, orang asal bimbang tentang status Tanah Hak Adat Orang Asal (NCR) yang telah digazet bagi pembinaan empangan.

Kedua, mereka gusar tentang aktiviti pembalakan yang masih dijalankan dengan permit pembalakan dikeluarkan kerajaan yang menjangkakan pembinaan empangan.

"Orang asal hanya selesa sekiranya gazet dan permit dibatalkan." ujar Peter. "Walaupun gembira dengan larangan empangan Baram, masih terdapat kebimbangan di kalangan mereka."

Sekiranya Ketua Menteri ikhlas, beliau perlu membawa isu tersebut ke kabinet atau Sidang Dewan Undangan Negeri agar proses pembatalan dapat dilakukan.

Tentang sekatan, Peter berkata selagi tiada "hitam putih", orang asal akan terus menyekat laluan pekerja dari Sarawak Energy Berhad bagi memasuki tapak empangan.

Katanya, orang asal mendirikan kem bagi menjaga dua sekatan sementara memantau agar aktiviti pembalakan tidak dijalankan.

Pihak yang menyekat laluan telah berada di situ sepanjang tahun lalu, dan ini merupan tahun kedua mereka membina dua sekatan ke tapak pembinaan.

Peter menjelaskan orang asal menentang cadangan empangan Baram kerana ia mungkin menyebabkan 34,000 hektar hutan dan tanah adat mereka dibanjiri, iaitu sama dengan keluasan Singapura.

Bagi orang asal, mereka akan dipindahkan ke tempat di mana masa depan mereka kabur, kata Peter.

"Mereka paling bimbangkan masa depan," jelasnya.-The Ant Daily (Joseph Tawie)

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget