Berbeza dengan Malaya, sekolah vernakular di S’wak menyatukan


SUARA LANTANG: Ketika kerajaan Sarawak memutuskan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) bagi membenarkan graduan yang layak memohon kerja di perkhidmatan awam negeri, ia bukanlah dibuat tanpa dirancang.

Keputusan dibuat selepas pertimbangan panjang, dan pada akhirnya, kerajaan merasakan sudah tiba masanya memberi kedudukan selayaknya kepada UEC – yang pada asasnya bermaksud pendidikan Cina dan sekolah swasta.

Sehingga hari ini, tiada seorang pun warga Sarawak yang mempersoalkan keputusan itu. Ia bermakna mereka setuju bahwa pengiktirafan kepada UEC tidak menjejaskan negeri secara politik, sosial dan juga ekonomi.

Pendidikan dan sekolah Cina bukan baru wujud semalam. Kedua-duanya, dan juga UEC, adalah sama tua dengan Sarawak. Dan jika ia menjadi punca kepada perpecahan sosial dan suasana tidak harmoni, ia tentunya tidak berkembang ke tahap hari ini.

Agak pelik – dan menyedihkan – apabila di Malaya, ada pihak yang merasakan sekolah vernakular menjadi punca perpecahan dan perlu dimansuhkan.

Perhimpunan baju merah bulan lalu menggesa agar SJKC dimansuhkan atas sebab tersebut. Sementara mufti Perak Harussani Zakaria pula berkata hanya sekolah kebangsaan dengan perantara Bahasa Melayu yang patut ada untuk seluruh rakyat Malaysia. Dengan itu anak-anak dari pelbagai kaum akan membesar dengan mengenali dan menerima satu sama lain.

Tetapi mengapa hanya sekolah kebangsaan dengan perantara Bahasa Melayu, di saat semakin ramai yang menyeru agar sekolah kebangsaan dengan bahasa Inggeris dikembalikan?

Lihat Johor misalnya. Di sana, seruan mengembalikan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran datang daripada Istana sendiri!

Sekolah Cina di Sarawak tidak pernah memisahkan warga Sarawak.

Sebaliknya, ia kian menjadi tempat bercampurnya pelbagai budaya, kaum dan agama di sini.

Sekolah Cina membantu warga Sarawak untuk lebih memahami, menghargai dan berhubung antara satu sama lain.

Malah standard pengajaran dan pembelajaran juga sentiasa baik.

Justeru, mengapa warga Sarawak akan berfikir untuk memansuhkan sekolah vernakular – seperti mereka di Malaya?

Memansuhkan pendidikan Cina sama seperti membunuh ayam yang mengeluarkan telur emas.

Dan ia bukanlah telur emas politik. Tetapi yang dapat dijual di pasaran. Ia berharga tinggi dan sentiasa dicari.

Apa yang Sarawak mahukan daripada sistem pendidikan kebangsaan adalah kelebihan dalam persaingan.

Inilah juga yang dimahukan Ketua Menteri Adenan Satem, namun Malaysia tidak mampu menghasilkannya secara konsisten.

Sistem pendidikan kebangsaan telah gagal manakala pendidikan Cina berjaya. Inilah sebabnya Adenan mahu autonomi pendidikan dikembalikan kepada Sarawak.

Tidak, Sarawak tidak memiliki sebarang sebab untuk menutup sekolah vernakular.

Sebaliknya, sumbangannya kepada UEC akan memberi jaminan bahawa pendidikan Cina akan terus menyumbang kepada negeri seperti sebelum ini.

Adenan tidak mahu sistem pendidikan kebangsaan yang terlalu dipolitikkan. Apa yang beliau mahu adalah sistem praktikal yang mengambil kira keperluan warga dan pasaran, di dalam dan luar negara.

Mungkin benar bahawa warga Malaysia semakin terpisah di Malaya, yang menurut sesetengah pihak disebabkan sekolah vernakular.

Warga di sini pula tidaklah terlalu renggang. Setakat ini.

Tetapi kerenggangan itu sudah pun bermula ekoran sistem pendidikan kebangsaan yang dipolitikkan.

Adenan mahu menyekat arus ini sebelum ia menjadi terlalu kuat.

Jika Sarawak dapat merangka sistem pendidikannya sendiri, ia pasti akan memberi cabaran dan persaingan kepada sekolah vernakular.

Dalam pendidikan – seperti juga di mana-mana sektor – persaingan sihat.-The Ant Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget