10 belia Penan tamat program pendidikan komuniti tajaan Petronas


MIRI: Sebanyak 10 belia kaum Penan kawasan Apoh Tutoh Baram telah berjaya mengikuti kursus Program Pendidikan Komuniti tajaan Petronas di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Sarawak Miri selama dua minggu berakhir semalam.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, kemahiran diperoleh sepanjang kursus diguna untuk mendidik kanak-kanak prasekolah di kampung halaman masing-masing.

Fatimah memberitahu, Petronas memperuntuk sejumlah RM2.75 juta untuk projek tersebut bagi tempoh lima tahun.

Katanya, peruntukan termasuk pembiayaan lima bangunan prasekolah setiap kawasan menelan belanja RM300,000 setiap bangunan termasuk peralatan.

“Perbelanjaan lain ialah membina bangunan sahaja sudah mencecah RM1.5 juta. Selebihnya peruntukan untuk bayaran sagu hati personel, utiliti, bahan bantu mengajar, pengangkutan dan makan minum kanak-kanak prasekolah nanti,” katanya.Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus Persediaan Sukarelawan bagi tugas penyelia, guru dan pembantu guru Program Pendidikan Komuniti (PENAN) untuk kawasan Apoh/Tutoh tajaan Petronas di IPG Miri semalam.

Fatimah yang mengulas lanjut mengenai projek bangunan itu berkata, kerja pembinaan dilaksanakan mulai bulan ini dan dijangka siap April tahun depan.

Katanya, seramai 72 kanak-kanak lima kampung iaitu Long Jenalong (11 orang), Long Kerangan (18), Long Leng (20), Long Kawa (13) dan Long Ba’Selulong (10) akan mengikuti kelas prasekolah apabila bangunan ini siap kelak.

“Kanak-kanak akan mengikuti program ini akan disedia makan minum RM3 sehari iaitu lebih tinggi berbanding peruntukan makanan prasekolah kerajaan RM2.25,” jelas beliau.

Jelasnya, kanak-kanak prasekolah akan disediakan minum pagi dan makan tengah hari sebelum tamat masa persekolahan bagi memastikan mereka mendapat makanan seimbang.

Fatimah menambah, peserta kursus telah menerima sagu hati RM300 serta RM50 untuk membuka akaun BSN.

Mereka juga menerima wang saku RM250 untuk membeli keperluan sebelum balik ke kampung halaman.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, Senator Datuk Lihan Jok, Pengarah IPG Miri, Jamiran Salam dan wakil Pengurus Besar Petronas Wilayah Sarawak Hafizah Naim.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget