Paulus dekati rakyat, pengundi secara bersemuka


LIMBANG: Pendekatan secara individu (bersemuka) merupakan pendekatan terbaik yang diamalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang untuk mendekati hati rakyat dan pengundi di konstituensinya.

Beliau berkata kaedah itu lebih mesra, dapat menyuarakan kehendak rakyat dan dapat mengenal pasti perkara yang terlepas pandang khususnya untuk menambah baik persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan awal tahun depan.

“Jentera kami sudah bersedia bila-bila masa untuk menghadapi PRN.

“Kami juga mengamalkan pendekatan bersemuka untuk mendekati rakyat kerana ia lebih mesra dan dapat mengenal pasti perkara yang terlepas pandang,” katanya ketika ditanya mengenai persiapannya menghadapi PRN selepas sambutan Aidiladha di Kampung Anak Bukit dan Kuala Awang semalam.

Pada majlis itu Paulus turut menyumbang buat pertama kalinya tiga ekor kerbau untuk majlis ibadah korban yang juga membabitkan Kampung Belading.

Turut sama ialah isteri Paulus Mary Sindang, Ketua Kampung Anak Bukit Mahat Matali, calon Ketua Kampung Kuala Awang iaitu Yusuf Timbang, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Surau Setia Bakti Anak Bukit Bujang Matali dan Pengerusi JKP Surau Nurul Fallah, Kampung Kuala Awang Jeffery Gapar.

Paulus berkata lagi berbanding program berbentuk formal dan perhimpunan hanya segelintir rakyat dapat menyuarakan pendapat mereka.

“Jika ada perhimpunan, mereka yang duduk di bahagian belakang tidak berkesempatan menyuarakan pendapat mereka,”ujarnya.

Beliau turut memberitahu, setakat ini sekitar 60 peratus kawasan sudah dilawatinya bersama Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah.

Meskipun berdepan cabaran dari segi komunikasi, khususnya kawasan rumah panjang yang terletak agak jauh di pedalaman, namun pembinaan jalan darat kini dapat memendekkan jarak dan senang dihubungi.

Mengulas mengenai majlis ibadah korban itu katanya, rakyat perlu bersyukur kerana negara ini masih dalam keadaan aman dan damai sehingga dapat meraikan sambutan Aidiladha tanpa sebarang rasa takut atau bimbang berkaitan aspek keselamatan.

Katanya, suasana di Malaysia amat jauh berbeza dengan negara-negara luar yang bergolak dan menghadapi peperangan akibat keadaan politik negara mereka yang kurang stabil.

“Saya mahu rakyat negeri ini mempertahankan keamanan yang kita kecapi ini dan terus mendukung kerajaan supaya negeri kita ini menjadi lebih stabil pada masa depan,” ujarnya.

Pada program sama Paulus mengumumkan geran kerajaan sebanyak RM30,000 termasuk pembinaan bumbung tambahan bagi Surau Setia Bakti Anak Bukit dan penganjuran aktiviti membabitkan kedua-dua kampung itu.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget