Kenyataan Media: Perutusan DS Anwar pada 21 September 2015
Berikut merupakan perutusan DS Anwar Ibrahim yang disampaikan melalui peguam beliau pada 21 September 2015:
“Saya terima baik usaha rundingan meha bulat yang akan disertai wakil-wakil PAS, KEADILAN, DAP dan Amanah serta NGO-NGO pada Selasa ini.
Ini merupakan langkah awal yang penting bagi mewujudkan muafakat yang melibatkan semua pihak termasuk parti-parti politik, NGO dan individu-individu yang amat diperlukan demi membawa perubahan kepada negara.
Tujuan pertemuan ini bukan hanya untuk mewujudkan muafakat politik; usaha kita lebih dari itu, iaitu untuk menyelamatkan Malaysia dengan menggembleng tenaga semua pihak yang komited kepada reformasi, keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Walau saya di penjara, saya tetap dapat merasai kerisauan dan kebimbangan rakyat terhadap isu ekonomi dan kejatuhan nilai mata wang ringgit, penggunaan retorik perkauman yang semakin meningkat dan skandal 1MDB yang tidak berkesudahan.
Dalam keadaan genting ini, kita perlu mengetepikan perbezaan dan maju ke hadapan untuk membentuk alternatif yang berdaya maju, adil dan demokratik berbanding kerajaan sedia ada.”
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi
Parti Keadilan Rakyat
-Keadilan Daily
Post a Comment