Mawan: Pendidikan asas utama pembangunan, kegemilangan negara


KABONG: Bidang pendidikan merupakan asas utama pembangunan dan kegemilangan sesebuah negara, kata Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.

Beliau berkata pada era ini saingan hidup memerlukan setiap warganegara memiliki tahap pendidikan tinggi dan menepati piawaian global, seterusnya mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat luar.

“Untuk memastikan anak-anak muda kita berada pada tahap global, inovasi dan pembangunan pendidikan sering diberi penekanan oleh kerajaan,” katanya pada penutupan Program MyRezeki Fest dan Karnival Mini Kemahiran KEMAS 2015 (Program Transformasi Belia Luar Bandar) Peringkat Negeri anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sarawak di Town Square, Kabong kelmarin.

Katanya kejayaan dicapai pelajar mahupun anak muda bukan sesuatu yang datang dengan sendirinya tanpa bimbingan dan didikan guru.

Katanya usaha guru dan pihak sekolah kurang berkesan jika ibu bapa hanya menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada guru semata-mata kerana ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mereka perolehi memerlukan pengukuhan ibu bapa dan persekitaran di rumah mereka.

“Ibu bapa mempunyai tanggungjawab tersendiri mendidik anak-anak dengan memastikan mereka mengulang kaji pelajaran semasa di rumah, memastikan cukup dari segi keperluan asas, selamat dan selesa dalam semua aspek kehidupan.

“Anak-anak yang mendapat kasih sayang dan keperluan mencukupi bukan sahaja mampu menempah kejayaan hidup mereka malah tidak mudah terjerumus dengan perkara tidak sihat seperti dadah, gam, lumba haram dan sebagainya,” kata Mawan.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi KEMAS Malaysia Amiruddin Ariffin, Pengarah Pembangunan Komuniti KEMAS Putrajaya Zairudin Mat Zuini, Pengarah KEMAS Sarawak Abang Rabaiee Abang Muhi serta yang lain.

Pelbagai aktiviti menarik sempena program itu termasuk pertandingan masakan tradisional, kraf (gubahan bunga), buku skrap (pusat sumber), masakan terbuka, mewarna, ceramah pendidikan serta kerjaya, pameran pendidikan dan kerjaya, sukan rakyat dan sebagainya.

Program tersebut memberi peluang kepada belia luar bandar meningkatkan taraf hidup dalam bidang pendidikan, perniagaan dan pekerjaan serta memberi ruang kepada masyarakat mengetahui aktiviti dilaksanakan KEMAS di setiap kawasan.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget