Pas tidak akan bersubahat dengan pengkhianat


KUALA LUMPUR – Pas tidak akan bertolak ansur apatah lagi menjalinkan kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dilabelkan sebagai ‘pengkhianat’ demi menjaga maruah parti dan kesejahteraan iklim politik negara.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Pas enggan menjadi precedent case atau kes boleh dicontohi apabila ditikam dari belakang kemudian menerimanya kembali sebagai kawan, seolah-olah menghalalkan pengkhianatan politik.

“Pengkhianat mesti dikekalkan rasa bersalahnya untuk sepanjang zaman sehingga mereka menyesal dan kembali bertaubat kepada Allah SWT.

“Mengiktiraf pengkhianat akan menghilangkan rasa bersalah mereka yang terlibat. Ini sangat tidak baik untuk sebuah perjuangan rakyat apatah lagi dalam perjuangan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Nasrudin menjelaskan, pendirian tegas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak bekerjasama dengan Amanah termasuk DAP dalam pembentukan muafakat pembangkang baharu amat bertepatan.

Tegasnya, keputusan itu bukan kerana Pas angkuh, sombong atau ego, sebaliknya dilakukan atas pendirian yang berpaksikan kepada prinsip dan maruah perjuangan.

“Bukan kerana menganggap hanya Pas yang hebat atau lebih baik daripada yang lain, tetapi kerana tidak mahu menjadikan Pas sebagai sebuah parti yang terjerumus dalam satu situasi yang mengelirukan serta terumbang-ambing dalam percaturan politik semasa sedangkan pilihan raya umum semakin hampir,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung penubuhan pakatan pembangkang baharu yang turut akan dibarisi Amanah, Nasrudin berkata, parti yang baharu ditubuhkan itu juga masih belum jelas hala tujunya dan tidak diketahui umum mengenai perlembagaannya.

“Usahkan perlembagaan, nama parti yang baharu pun belum disahkan secara muktamad oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Lebih mengelirukan, Presiden parti baharu itu (Amanah) sendiri jelas nyatakan sikapnya tidak memerlukan Pas dan tidak yakin untuk bekerjasama dalam pakatan baharu, namun Timbalan Presidennya pula mengajak Pas menyertai pakatan baharu dan Naib Presidennya pula mengatakan Pas adalah musuh politik nombor satu mereka.

“Ertinya, mereka sepatutnya terlebih dahulu duduk berbincang dan bermusyawarah (berunding) untuk mencari kesepakatan sebelum mengundang Pas, apatah lagi untuk menganggap Pas sombong dan angkuh,” katanya.

Menurutnya, Pas mempunyai pendekatan dan strategi tersendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan akan berusaha memenanginya.

“Masih banyak ruang ijtihad (pendapat) dan tindakan politik yang boleh dilaksana dan direncanakan sebagai persiapan untuk mendepani PRU-14 kelak. Insya-Allah, Pas tidak perlu mengikut lagak orang lain untuk berjaya dan menang,” katanya.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget