Hubungan S’wak-China dalam keadaan terbaik, tapi lain ceritanya dengan Malaya


KUCHING: Dua senario yang amat berbeza – yang satu mudah, yang satu lagi sukar – melibatkan China berlaku dalam beberapa hari ini.

Senario pertama: Di Sarawak, konsul besar China ke Sarawak Liu Quan mengadakan majlis makan malam pada 25 September lalu sempena ulang tahun ke-66 penubuhan Republik Rakyat China.

Antara tetamunya adalah Ketua Menteri Adenan Satem, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Lee Kim Shin, MP Bintulu Tiong King Sing serta konsul besar Brunei dan Indonesia, Kamsani Noordin dan Jaafar Gultom.

Dalam ucapan alu-aluannya, Liu menyentuh perihal Sarawak yang luas dan kaya dengan sumber asli.

“Apa yang lebih menarik bagi pelabur asing adalah kestabilan politik dan keharmonian sosialnya. Saya memiliki segala sebab untuk percaya bahawa dengan usaha bersama kita, kerjasama antara China dan Sarawak dalam bidang perindustrian, perladangan, infrastruktur, pelancongan, pendidikan dan budaya akan membuahkan hasil pada masa akan datang,” katanya seperti dipetik.

Adenan selaku tetamu kehormat pula bercakap tentang kekagumannya dengan China yang cermat dan teguh dalam menguruskan ekonomi yang telah membolehkannya mengekalkan pertumbuhan, bukan sahaja di dalam tetapi di luar negara.

“Kami berharap yang ia akhirnya akan membantu Sarawak untuk terus membangun ke arah mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi pada 2030.

“Pada tahun 2014, jumlah perdagangan antara China dan Malaysia adalah bernilai RM208 bilion, sementara nilai perdagangan antara China dan Sarawak kira-kira RM12 bilion.

“Tentunya ada ruang untuk China dan Sarawak meningkatkan perhubungan perdagangan dan pelaburan dua hala. Saya yakin kita akan terus mengukuhkan hubungan dan komitmen ini harus menjadi asas kepada perkongsian kita.”

Ini benar-benar menunjukkan hubungan rapat China dan Sarawak selama ini. Setiap tahun pada bulan September, konsul besar China ke Sarawak tanpa gagal akan meraikan sambutan ulang tahun Republik itu bersama-sama pemimpin negeri.



Malah sambutan ulang tahun tahun lalu diadakan pada 28 September. Ketika itu, Adenan berkata yang Liu patut merasa selesa dan tidak canggung memandangkan masyarakat Cina sudah menjadi bahagian penting dalam komposisi kaum dan budaya di Sarawak.

Beliau juga berkata bahawa Carpenter Street di Kuching – yang juga dikenali sebagai ‘China Street’ atau ‘Little China’ – pasti akan menarik minat Liu.

Ia selepas Adenan menyingkap beberapa statistik positif tentang perdagangan dua hala Malaysia dan China, dan bagaimana Sarawak terus menjadi rakan perdagangan yang penting buat negara itu.

Saban tahun, Sarawak dan China sekurang-kurangnya mempunyai satu sebab yang bagus untuk diraikan bersama-sama – hubungan dua hala yang semakin mendalam.

Senario yang sukar pula terjadi di Malaya.

Jalan Petaling menjadi latar kekacauan pada 16 September lalu. Polis terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan peserta himpunan baju merah yang mahu masuk ke kawasan itu.

Mereka dikatakan merancang ke Chinatown itu sekali lagi pada 26 September, bagi mendesak pihak berkuasa menyerbu peniaga yang didakwa terlibat menjual barang tiruan dan perniagaan haram lain. Mujurlah acara yang berbau perkauman itu tidak berlaku selepas polis bertindak ke atas penganjur.

Nampaknya laungan ‘Cina Babi dan ‘Cina DAP’ masih tidak surut sepenuhnya.

Di tengah-tengah perkembangan malang itu, duta China ke Malaysia Dr Huang Huikang berkunjung ke Jalan Petaling. Beliau dikatakan telah memberi ucapan yang tidak disenangi pihak berkuasa.

Untuk itu beliau telah dipanggil oleh Kementerian Luar untuk memberikan penjelasan.

Kedutaan China mengeluarkan kenyataan, bahawa kunjungan Huang bersifat baik dan tidak berniat untuk masuk campur dalam hal-ehwal dalam negara.

Tetapi seorang pegawai kementerian memiliki pandangan berbeza. Laman The Star Online memetiknya sebagai berkata, “Malaysia melihat kenyataannya dengan serius. Ia sama seperti masuk campur dalam hal dalam negara Malaysia.”

Ketika Adenan dan konsul besar China di Sarawak beramah mesra sambil menikmati juadah terbaik di sebuah hotel utama di negeri itu, Malaya pula terpaksa berhadapan dengan perkembangan yang memalukan.-The Ant Daily (Jimmy Adit)

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget