Tidak wujud diktator di Malaysia



KUALA LUMPUR – Tiada istilah diktator dalam pemilihan pemimpin di negara ini kerana setiap daripada mereka perlu melalui proses demokrasi sebelum dilantik memegang sesuatu jawatan baik dalam parti mahupun kerajaan.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, tindakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berterusan mendesak Najib berundur seolah-olah menunjukkan beliau adalah seorang diktator.

Katanya, sebagai negarawan, Dr. Mahathir sepatutnya memberikan komen membina dalam bersama-sama membangunkan negara dan bukannya bersekongkol dengan media asing memburukkan kepemimpinan Perdana Menteri.

“Dr. Mahathir perlu faham bahawa masa beliau telah berlalu. Kita tidak boleh membenarkan seseorang itu menggunakan kuasa seolah-olah diktator bagi menjatuhkan pemimpin dan jika itu berlaku, apa gunanya pemilihan secara demokrasi yang sekian lama diamalkan di negara ini.

“Baik atau buruk seseorang pemimpin itu dipilih oleh ahli parti atau rakyat itu sendiri. Mereka tahu kredibiliti dan kemampuan pemimpin yang dipilih daripada suara majoriti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas artikel terbaharu Dr. Mahahir dalam blognya http://chedet.cc/ yang mendesak Najib supaya berundur dan menyifatkannya gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, tindakan berdiam diri Perdana Menteri apabila terus diasak secara konsisten oleh Dr. Mahathir bukan bermaknanya beliau setuju dengan tindakan pemimpin itu.

“Jangan anggap apabila kita berdiam diri, kita bersetuju dengan cara dia. Kita lakukannya kerana hormat akan Dr. Mahathir sebagai negarawan.

“Jika beliau menganggap Najib, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Ghaffar Baba, Tun Abdul Razak Hussein, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Musa Hitam salah, pastinya ada yang tidak kena pada dirinya. Kita sedih dengan apa yang berlaku hari ini,” tegasnya.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget