Zahid berjanji lebih kerap ke Sarawak


SERIAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan kerap datang ke Sarawak terutama di kawasan luar bandar sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Beliau berkata setiap lawatannya ke Sarawak bukan hanya untuk menabur janji kosong tetapi untuk melihat dan memastikan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat dapat disampaikan dengan berkesan.

“Saya akan pastikan sekurang-kurangnya setiap bulan saya akan turun sekali ke Sarawak untuk membantu tuan-tuan dan puan-puan, ini bukan janji politik tetapi ini adalah yang saya lakukan.

“Dan tentunya kalau (saya) datang bukan membawa air liur sahaja, rakyat telah memberi sokongan kepada BN (Barisan Nasional).

“Saya diberi peluang untuk membantu walaupun rakyat Sarawak tidak minta tetapi saya mesti beri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Mathew Manai Tan di Kampung Melikin Danau, Kerengas Baru, Balai Ringin, di sini semalam.

“Sebab itu kalau kita mahu berteduh kita mesti berteduh di bawah pohon yang rendang kalau kita mahu berlabuh mesti berlabuh di muara yang tenang kerana pohon yang rendang dan muara yang tenang itu adalah BN, inilah parti yang akan membantu anda,” tambah Menteri Dalam Negeri itu.

Meskipun belum sampai dua bulan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, Zahid memberitahu bahawa beliau akan berusaha membantu rakyat di akar umbi terutama di luar bandar.

“Saya datang dari kampung di luar bandar, saya tahu perasaan orang-orang bawah, saya tahu perasaan rakyat keseluruhannya, saya tahu apakah pembangunan yang perlu dibawa ke luar bandar,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap rakyat terutama penduduk di luar bandar tidak mudah termakan dengan janji retorik pembangkang yang hanya mahu merosakkan pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget