Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar Datuk Julaihi Narawi berkata ini sekali gus membolehkan suara rakyat di kawasan luar bandar khasnya mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.
“Sokongan padu berkenaan penting kerana melaluinya kerajaan dapat membawa pembangunan kepada rakyat.
“Rakyat mempunyai kuasa menentukan wakil pemimpin mereka, maka PRN akan datang ini bakal menentukan masa depan penduduk di Sebuyau,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang turut dihadiri Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Daerah Kecil Sebuyau, Ajis Ahmad di Sebuyau, semalam.
PRN, kata Julaihi, adalah platform penting menentukan masa depan negara dan rakyat boleh memilih pemimpin melalui pilihan raya, terutama rakyat di luar bandar.
“Saya berharap kepada seluruh penduduk luar bandar khususnya di kawasan Sebuyau agar memberi peluang kepada Ketua Menteri dan ahli-ahli pasukannya untuk terus memimpin negeri ini,” katanya.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu, penduduk kawasan berkenaan juga diharap tidak terjebak dengan kesilapan kerana ia tidak akan membawa kebaikan kepada mereka.
Justeru, beliau menyarankan kepada penduduk yang mungkin tidak berpuas hati dengan projek pembangunan supaya berbincang dengan pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian, yang lebih memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Tindakan untuk membantah tidak akan memberi manfaat, misalnya ini dapat kita lihat di sesetengah kawasan diwakili pembangkang, yang tiada pembangunan berlaku.
“Dengan itu, kita harus bersatu hati dan bersama memberi sokongan padu kepada kerajaan kerana melalui sokongan itu suara kita dapat jelas didengari oleh kerajaan,” kata beliau.
Selain itu, Julaihi menasihatkan penduduk di Kampung Lubuk Manta Atas, Lubuk Manta Ulu, Lubuk Manta Hilir dan Kampung Tungkah Dayak agar berkongsi menggunakan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan.
Terdahulu, Julaihi mengumumkan peruntukan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 masing-masing kepada Kampung Lubuk Manta Atas, Lubuk Manta Ulu, Lubuk Manta Hilir dan Kampung Tungkah Dayak untuk membaik pulih balai raya mereka.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 untuk penambahbaikan astaka Sekolah Kebangsaan (SK) Tungkah Dayak dan RM5,000 bagi mengubah suai blok pentadbiran sekolah sama.-Utusan Borneo
Post a Comment