KUCHING: Chong Chieng Jen, ADUN Kota Sentosa digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak gara-gara menyifatkan bajet 2016 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Sarawak sebagai 'David Copperfield Accounting' pada hari ke 7 persidangan itu semalam.
"Tuan speaker, ini adalah 'David Copperfield Budgeting Accounting' Kerajaan Negeri Sarawak" tegas Chong mempersoal mengapa bajet defisit dengan ajaibnya boleh bertukar menjadi bajet lebihan.
“Saya menggesa Yang Berhormat Kota Sentosa (Chong) untuk menarik balik kenyataannya itu dan memohon maaf kepada Ketua Menteri yang merupakan Menteri Kewangan atau saya akan mengusulkan penggantungan beliau," kata Wong Soon Koh ADUN Bawang Assan.
"Tuan speaker, sudah berapa kali saya nyatakan bahawa saya tetap dengan kenyataan saya," tegas Chong yang tidak mahu menarik semula kenyataannya itu.
Tindakan Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak itu memaksa speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia menggantung beliau hasil dari sokongan usul 32 wakil rakyat di dewan tersebut.
Akibat dari penggantungan itu, Chong tidak dibenarkan hadir ke persidangan DUN Sarawak sehingga hari ini (16 Disember), hari terakhir Mesyuarat ke 3 bagi penggal ke 5 Dewan Undangan Negeri Sarawak ke 17. -SarawakLIVE
Post a Comment