KUCHING: Tuduhan berlakunya penganiayaan politik terhadap dua Ahli Parlimen yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini oleh kerajaan negeri tidak timbul.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Dev Kumar berkata kerajaan negeri tidak terlibat dalam perkara berkenaan kerana kuasa prosiding jenayah adalah terletak di tangan Peguam Negara.
“Kerajaan negeri tidak berkaitan dalam perkara ini dan dakwaan penganiayaan politik tidak timbul.
“Kuasa untuk memulakan prosiding jenayah terletak hanya di tangan Peguam Negara, selepas meneliti keterangan yang dikemukakan oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Tambah Dev, kedua-dua Ahli Parlimen iaitu Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Bandar Kuching) dan Julian Tan (Ahli Parlimen Stampin) juga bukan didakwa kerana berkumpul menyertai perhimpunan BERSIH 4 di padang ragbi Song Kheng Hai seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.
“Sebaliknya, mereka didakwa kerana mengambil bahagian dalam protes jalanan dari Hotel Hilton ke kawasan perhimpunan, yang melanggar Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 dan syarat yang ditetapkan oleh Ketua Polis Daerah Kuching,” katanya.
Chong dan Tan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas kesalahan mengambil bahagian dalam protes jalanan di bawah Seksyen 4 (2) Akta Perhimpunan Aman.-Utusan Borneo
Post a Comment