KUCHING: Ahli politik di negeri ini harus melihat gambaran yang lebih luas dunia politik, masyarakat dan transformasi bukannya laluan sempit kerana ia hanya memberi manfaat kepada kumpulan kecil.
Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata dalam konteks itu setiap ahli politik mesti mengadaptasi pemikiran terbuka dan melihat ke hadapan.
“Inilah yang dipanggil kematangan berpolitik. Kita (ahli politik) harus menonjol sebagai orang yang penting dan tertinggi dalam satu rangka kerja.
“Proses politik adalah memfokus juga berkongsi matlamat sama dan nasib yang akan mempercepatkan lagi pembangunan sosioekonomi rakyat khasnya di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ktika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementerian itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Mawan yang juga presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) berkata dalam politik berlaku perubahan masyarakat dan ahli politik tidak terkecuali.
“Kita (ahli politik) tidak boleh hanya menjuarai satu kaum, agama dan kepentingan yang sempit, marilah kita mengetepikan pendirian ekstrem untuk membangkit emosi dan menarik sokongan daripada beberapa kumpulan.
“Saya tahu ada segelintir individu, walaupun jumlahnya kecil, yang kadang-kadang terlibat membuat kenyataan yang memberi isyarat salah mengenai agenda mereka dan mungkin meletakkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam kedudukan tidak selesa,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mawan berkata beliau amat bimbang dan kecewa dengan elemen-elemen tidak sihat seperti politik yang ekstrem dalam politik tempatan baru-baru ini oleh individu tidak bertanggungjawab.
Menggunakan media cetak dan sosial katanya, kumpulan berkenaan cuba memasuki politik BN untuk menimbulkan perselisihan faham dan mencetuskan ketegangan.
“Elemen-elemen tidak sihat ini adalah konfrontasi politik dan menggambarkan konfrontasi pelakunya, ramai daripada mereka adalah pemimpin yang mempunyai hak.
“Menggunakan kedudukan mereka untuk mempengaruhi dan berharap mendapat sokongan daripada penyokong. Mereka seolah-olah tidak takut dengan pucuk kepimpinan hari ini,” katanya.
- Borneo Post Online
Post a Comment