Reaksi positif terhadap BN dan Adenan


KUCHING: Majoriti penduduk Sarawak menunjukkan reaksi amat positif terhadap Barisan Nasional (BN) dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menerusi tinjauan dilakukan penganalisis politik Dato Peter Minos baru-baru ini.

Selama dua minggu berjumpa dan menemu bual secara rawak orang ramai dari Lawas ke Sematan, beliau mendapati majoriti daripada mereka mahu BN dan Adenan terus memimpin Sarawak.

BN, katanya, mampu menang di kebanyakan kerusi tetapi perlu mempertaruhkan calon paling boleh menang dan dihormati, malah penduduk di luar bandar mahu lebih banyak pembangunan infrastruktur dan ekonomi dilaksanakan.

“Orang ramai sentiasa memberi sokongan terhadap tindakan Ketua Menteri yang mempertahankan hak-hak penduduk Sarawak.

“Orang ramai juga tidak mempedulikan kritikan-kritikan dilemparkan pembangkang dan serangan terhadap BN kerana pembangkang belum membuktikan mereka bertanggungjawab dan berkredibiliti,” katanya menerusi satu kenyataan.

Hasil tinjauan itu, Minos menyarankan agar BN mengambil peluang sepenuhnya berdasarkan keyakinan orang ramai terhadap Ketua Menteri dan BN.

Berdasarkan sentimen itu, beliau juga berpendapat BN mampu memenangi hati pengundi-pengundi di kawasan bandar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan BN mesti mengetengahkan calon terbaik, dan mengabaikan mereka yang bangga dan bongkak.

Menjelaskan lanjut, perasaan yakin terhadap Adenan dan BN, katanya, telah meningkat susulan tindakan dan pencapaian Ketua Menteri selama ini.

“Orang ramai di seluruh Sarawak amat kagum dengan lebih 50 perkara yang dilakukan Ketua Menteri dalam tempoh dua tahun.

“Justeru, wujud jangkaan jika diberi lima tahun lagi, Ketua Menteri sudah pasti akan melakukan lebih untuk Sarawak.

“Warga Sarawak mahu melihat masa depan lebih baik dan menggembirakan di bawah seorang pemimpin,” ujarnya.

Menurutnya lagi, isu yang amat digemari rakyat terhadap Adenan ialah kerana mempertahankan hak-hak Sarawak. Mereka bangga menjadi warga Sarawak dan amat menghargai Ketua Menteri.

Beliau menambah, kerajaan wajar melaksanakan pembangunan infrastruktur seperti yang dirancang selama ini seperti mana dikehendaki penduduk kampung dan rumah panjang.

Malah, rata-rata penduduk luar bandar yang ditemui menyatakan mereka mahu pelaksanaan dan bukan sekadar berjanji.

“Pesanan orang ramai kepada BN ialah, pilih calon sebaik mungkin dan hentikan perbalahan dalaman. Ramai yang mengatakan BN hilang kerusi jika calon dipilih tidak sesuai dan ahli-ahli BN sabotaj sesama sendiri,” katanya.

Katanya, tidak mudah bagi parti-parti pembangkang menang di mana-mana kerusi memandangkan mereka tidak mempunyai rekod lampau, malah sekadar mengkritik BN, bercakaran sesama sendiri atas perkara remeh, menuding jari, mengaitkan kekurangan BN pusat dengan BN Sarawak, memperkecil-kecilkan usaha BN dan ‘kosong.’

Dalam kata lain, katanya, pembangkang cuma mampu menang kerana kebetulan.

Ketika berhadapan dengan rakyat, katanya, BN harus memberi penjelasan apa yang telah dilakukan dan perancangan jika diberi mandat memerintah semula selepas Pilihan Raya Negeri Ke-11.

“Abaikan aura politik negatif pembangkang kerana ramai rakyat telah menyuarakan sokongan mereka dari hati yang tulus,” jelasnya.

Beliau turut melaungkan jangkaan BN akan mampu menang besar dengan sekurang-kurangnya 70 kerusi.

“Saya gembira kerana telah berjumpa dan bercakap dengan pelbagai lapisan masyarakat dari Lawas ke Sematan dalam tempoh dua minggu, jika saya tidak melakukannya, saya cuma mampu meneka apa yang tersemat dalam hati mereka.

“Pengundi-pengundi tidak ada alasan hendak menipu saya. Malah ada yang tidak kenal saya. Mereka bercakap jujur.

“Ini menunjukkan warga Sarawak amat yakin dan gembira, dan saya sangat percaya ini kerana kepemimpinan yang dinamik dan prospek masa depan yang cerah di bawah pimpinannya,” kata Minos.- Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget