Alexander sahkan DUN Ngemah selamat tanpa masalah politik


KANOWIT: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah disahkan selamat dan tidak wujud politik kacau-bilau, kata  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent.

Jelasnya, ini telah pun disah oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) serta agensi kerajaan berkaitan menerusi tinjauan serta laporan mereka selama ini.

“Justeru, Barisan Nasional (BN) diyakini mampu mempertahan kerusi DUN Ngemah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 ini. Menurut laporan serta tinjauan JASA dan agensi berkenaan ketika memaklum kepada saya tadi (semalam) DUN Ngemah dikategori sebagai kawasan selamat dan BN mampu menang,” katanya.

Jelasnya, laporan itu berdasarkan tinjauan ketika memerhati kawasan  dan bebas dari ketidakstabilan politik.

Katanya, ini kerana DUN Ngemah tiada isu perebutan calon atau individu melobi serta tidak mengalami masalah seperti kawasan lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Jalan Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Peranti Bukit di Nanga Kabah dekat sini, semalam.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri, Penghulu Juin Adan dan Tuai Rumah Peranti.

Pada majlis perasmian itu, beliau turut mengumumkan geran bernilai RM10,000 bagi membantu penduduk Rumah Peranti memasang jubin lantai di bahagian Ruai rumah panjang tersebut.

Alexander berkata, walaupun DUN Ngemah disahkan selamat tetapi parti pembangkang tetap bertanding di situ.

“Tidak salah, pembangkang boleh bertanding melawan saya pada PRN kali ini dan saya mengalu-alukan mereka kerana lagi baik sesebuah pertandingan jika ada lawan.

“Tetapi jangan menyesal jika mereka kalah kerana sokongan rakyat di sini amat padu kepada BN,” tegasnya.

Beliau memberitahu bahawa kawasan jauh pedalaman di DUN Ngemah seperti di Rantau Lugai, Ulu Jagau dan Ulu Ngemah menyuarakan sokongan padu kepada BN semasa beliau melawat kawasan tersebut pada hujung bulan lepas.

“Sokongan akar umbi di kawasan jauh pedalaman sudah membuktikan bahawa BN masih diperlukan di DUN Ngemah.

“Dan saya tidak gentar menghadapi cabaran pembangkang kerana saya yakin mampu menang dengan majoriti besar,” jelasnya lagi.

Sementara itu, mengenai projek di bawah DUN Ngemah, beliau berkata, ia tetap dilaksana mengikut keperluan dan dijalankan berperingkat-peringkat.

“Jika saya diberi mandat sekali lagi pada PRN 2016 ini, lebih banyak lagi pembangunan akan saya laksanakan dan saya mempunyai perancangan untuk membangunkan lebih pesat lagi rakyat di kawasan ini.

“Saya juga akan memfokuskan tentang sosial ekonomi, kesihatan, pendidikan selain dari pembangunan insfrastruktur dan kemudahan asas yang lain untuk rakyat di kawasan saya amnya di luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar komponen BN di DUN Ngemah terus bersatu dan bekerjasama untuk memastikan kemenangan BN di DUN Ngemah.

“Sokongan padu amat diperlukan. Kita harus menolak parti pembangkang khususnya dari Semenanjung Malaysia. Parti terbabit tidak membantu rakyat dan mereka hanya tahu memghasut rakyat serta memburuk-burukkan kerajaan.

“Oleh itu, jangan terpedaya dengan golongan terbabit dan pilihlah parti mana yang dapat membantu rakyat serta melaksanakan pembangunan,” tambahnya lagi.- Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget