KUCHING: Gabungan antara Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Parti
Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak bagi membentuk kerajaan perpaduan adalah
sesuatu yang mustahil.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul
Karim Rahman Hamzah berkata pada dasarnya BN tidak akan menerima DAP menyertai
kumpulan itu kerana parti dari Semenanjung Malaysia itu mempunyai objektif
serta organisasi berbeza dengan BN.
Menurutnya BN dan DAP mempunyai sejarah dan objektif tersendiri, yang
boleh menimbulkan masalah sekiranya kedua-dua parti itu bekerjasama membentuk
satu kerajaan.
“DAP berjuang bertahun-tahun, dilihat ‘cauvanis’, parti bersifat
perkauman.
“Mungkin berusaha mendekati kaum lain sejak beberapa tahun lalu untuk
dilihat parti pelbagai kaum namun hakikatnya ahli parti itu sebahagian besarnya
adalah Cina.
“Walaupun tiada yang mustahil dalam politik, namun melihat senario
politik sekarang prospek kerajaan gabungan antara BN dan DAP nampak ‘hampir
sifar’ dan mustahil,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Pengerusi
DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang menyatakan bahawa beliau tidak menolak
kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan dengan BN Sarawak di peringkat negeri.
Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa,
dalam akhbar kebangsaan berbahasa Cina berkata, selagi beliau pengerusi DAP
Sarawak, DAP tidak akan menyertai BN.
Bagaimanapun beliau tidak menolak 100 peratus kemungkinan membentuk
kerajaan perpaduan dengan BN, sambil menambah dalam banyak negara, pembangkang
bekerjasama dengan parti memerintah di peringkat negeri tetapi bersaing di
peringkat persekutuan.
Mengulas kenyataan Chong itu, Karim yang juga ADUN Asajaya berkata:
“Setahu saya, Chong bukannya presiden (DAP), saya fikir beliau hanya bermimpi.
“DAP adalah parti Semenanjung Malaysia dan sesiapa sahaja yang berasal
dari Sarawak hanya bermimpi untuk dipilih menjadi presiden parti,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN Datuk Dr Stephen Rundi Utom dipetik
dalam portal berita menyifatkan kenyataan Chong itu hanya gimik politik.
Rundi berkata sebagai parti komponen BN Sarawak terbesar dan mempunyai
objektif yang jauh bertentangan dengan DAP, Chong orang terakhir dipilih PBB
untuk bekerjasama.
“Tidak perlu untuk PBB
membentuk kerajaan perpaduan dengan DAP bagi merampas kerusi Cina memandangkan
sokongan komuniti itu kepada BN kini semakin meningkat berbanding Pilihan Raya
Negeri 2011, disebabkan populariti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan
Satem,” ujar setiausaha agung PBB itu. – Utusan Borneo.
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.