MIRI: Barisan pemimpin generasi pelapis akan tampil sebagai calon parti
Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata,
mereka diperlu bagi menerus perjuangan parti membangun Sarawak selain
mempertahan perpaduan di samping mengekal keharmonian rakyat.
“Dalam pilihan raya akan datang ini, kita akan menampil beberapa
pemimpin pemuda kita termasuk wanita.
“Ini penting untuk memastikan bahawa semangat meneruskan perjuangan kita
akan dapat disambung generasi pelapis,” katanya.
Beliau berkata demikian di hadapan hampir 4,000 peserta Fiesta
#DUNLAMBIR di tapak projek Bakam Point, di Bakam semalam.
Awang Tengah berkata, beliau berharap perpaduan akan terus kukuh
walaupun berbeza agama dan kaum namun hasrat perjuangan sama.
Beliau memberitahu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir dan Naib
Ketua Pemuda PBB Sarawak, Ripin Lamat merupakan pemimpin muda yang diangkat
oleh PBB.
Sehubungan itu, dalam PRN kelak, Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Patinggi
Adenan Satem mahu semua 82 calon dipilih mendapat kemenangan besar.
“Dengan mandat besar, Adenan akan dapat buka mulut. PM akan dengar.
Kerajaan Persekutuan akan dengar. Ini bukan suara Adenan sahaja. Ini suara
rakyat seluruh negeri Sarawak,” tegasnya.
Mengulas mengenai perpaduan, Awang Tengah juga Menteri Perancangan
Sumber dan Alam Sekitar Kedua, mahu perpaduan dan keharmonian dinikmati rakyat
Sarawak terus dipertahan kerana menjadi kekuatan mencorak masa depan generasi
baharu.
Beliau tidak mahu rakyat memandang remeh kepentingan perpaduan kaum
kerana ia mampu menggoyahkan kestabilan, keselamatan dan membantutkan
pembangunan.
“Jangan kita main-main. Nilai perpaduan begitu berharga sekali. Apatah
lagi dalam keadaan masyarakat kita sekarang yang berbagai kaum,” jelasnya.
Sehubungan itu, penduduk kampung dan rumah panjang harus bertindak
sebagai askar di peringkat akar umbi untuk mempertahankan kawasan kediaman
mereka dari dicerobohi golongan pelampau yang dikhuatiri akan memecahbelahkan
perpaduan dan keharmonian kaum.
Beliau tidak mahu rakyat terpedaya ideologi politik dibawa parti
pembangkang Semenanjung Malaysia yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.
“Menjadi tugas dan tanggungjawab kita menjaga semua kampung, rumah
panjang dan kawasan kita supaya tidak mampu ditembusi golongan pelampau.
“Kita adalah soldadu peringkat akar umbi, kita adalah askar di peringkat
akar umbi. Kita pertahan kawasan kita,” katanya lagi,.
Awang Tengah berkata, kerajaan Sarawak mempunyai kuasa menghalang
golongan pelampau agama dan politik daripada memasuki negeri ini.
Mengulas tentang Fiesta #DUNLAMBIR, Ripin memberitahu, aktiviti terbesar
julung kali itu disertai golongan belia dan dewasa terdiri daripada penduduk
kampung, rumah panjang dan ahli Pemuda di semua ranting parti Pesaka Bumiputera
Bersatu (PBB) di kawasan Lambir.
Pelbagai pertandingan
dianjurkan yang antaranya, Lambir Idol, ratu kebaya, tarian poco-poco, sukaneka
dan sukan pantai. – Utusan Borneo.
Post a Comment