KAPIT: Penduduk di lima rumah panjang di Baleh menerima lebih RM300,000
daripada fasa pertama projek usaha sama bagi membangunkan tanah Hak Adat
Bumiputera (NCR) mereka dengan penanaman kelapa sawit.
Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, usaha
sama antara Ta Ann Plantation Sdn Bhd, pemilik tanah NCR dan Pelita Holdings
Sdn Bhd membabitkan kawasan seluas 11,178 hektar dan melibatkan 68 rumah
panjang.
“Hari ini kumpulan pertama yang melibatkan lima rumah panjang, 630.32
hektar, melibatkan 133 lot dan seramai 84 penerima menerima bayaran berjumlah
RM302,553.60.
“Sebahagian daripada bayaran ini kita masukkan ke dalam ASSAR (Amanah
Saham Sarawak) dan lain-lain dalam bentuk wang tunai kepada peserta,” katanya
pada Majlis Penyerahan Bayaran di Rumah Ukau Muli, Nanga Bawai di sini, Jumaat
lepas.
Katanya, pihaknya tidak mahu membayar wang dengan jumlah banyak sekali
gus kepada peserta malah ada yang dimasukkan ke dalam ASSAR supaya mereka
menerima keuntungan pelaburan masing-masing selepas lima tahun.
Masing menjelaskan, sebanyak RM75,694.60 tunai telah diagih manakala
pelaburan dalam ASSAR berjumlah RM226,859.
“Apa yang penting tanah itu telah berada di sana untuk masa lama iaitu
setengah abad, 30, 50 atau 60 tahun tanpa mendatangkan hasil langsung.
“Oleh itu, kami (kerajaan) datang membangunkan tanah berkenaan bagi
menjadikannya sebagai tanah produktif malah dapat memberi keuntungan kepada
pemiliknya,” kata Masing yang juga Menteri Kanan dan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Baleh.
Beliau menjelaskan bahawa kos membangunkan tanah NCR itu adalah RM16,000
bagi setiap hektar untuk penanaman kelapa sawit.
“Jika kita membangunkan semua 11,178 hektar tanah untuk kelapa sawit, ia
akan menelan belanja RM176 juta, ini perkiraan saya. Adakah pemilik tanah terbabit
mampu membiayai kos berkenaan? Oleh itu, kami menjemput pelabur datang ke sini.
“Pertama mereka mempunyai modal, kedua mereka mempunyai kemahiran untuk
melakukannya kerana Ta Ann pernah melakukannya,” katanya.
Jelas beliau, ia adalah kali keempat ladang berkenaan dimajukan oleh Ta
Ann dan paling penting daripada pelaksanaan projek ini ialah kemudahan jalan
raya serta tanah pula diletak di bawah nama masing-masing.
“Jadi, dari segi tanah ia akan menjadi sangat selamat. Pemilikan tanah
adalah selamat dengan memberikan sijil kepada pemilik tanah.
“Oleh itu, tiada lagi pertikaian. Tidak ada pertikaian dan tidak ada
syak wasangka bahawa kerajaan akan mengambil tanah mereka kerana ia adalah di
bawah nama mereka.
“Sangat penting bahawa tanah adalah di bawah nama mereka. Tanah itu akan
terus produktif untuk menjana pendapatan bagi pemilik tanah.
“Jika penduduk terbabit tidak mempunyai tanah yang mencukupi, mereka
boleh bekerja di ladang berkenaan. Jadi, ia memberi manfaat kepada semua
orang,” tambahnya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Tanah Datu Jaul
Samion, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Senator Doris Sophia
Brodie, Ketua Pegawai Operasi Ta Ann Lim Hong Hin, Pengurus Operasi Pelawat Ta
Ann Ngu Heng Hua, Pembantu Peribadi Ketua Pegawai Eksekutif Ta Ann Shannon Yii,
Pengurus Bank Tanah dan Hal Ehwal Ta Ann Liong Wai Kiong, Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Kawasan (ADC) Fasa 1 Penghulu Undie Bajai dan Tuai
Rumah Ukau Muli. –
Utusan Borneo.
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.