Sokongan kuat pastikan BN rampas semula Bukit Assek

Tiba masanya penduduk beri peluang kepada calon BN

SIBU: Sokongan kuat penduduk di kawasan Bukit Assek penting bagi memastikan kemenangan semula Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Bukit Assek pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek Chieng Buong Toon berkata, sudah tiba masanya penduduk Bukit Assek memberi peluang kepada calon BN selepas dua penggal DUN Bukit Assek dimenangi parti pembangkang.

“Bukit Assek telah mengalami kerugian dan ketinggalan dari segi pembangunan dalam tempoh 10 tahun di bawah parti pembangkang. PRN kali ini penting untuk memastikan BN merampas kembali kerusi DUN Bukit Assek.

“Sudah tiba masanya penduduk di Bukit Assek memberi peluang dan sokongan kuat kepada calon BN,” jelasnya pada sambutan Tahun Baharu Cina 2016 anjuran SUPP Cawangan Bukit Assek di gelanggang bola kerajang di Jalan Merlin, malam kelmarin.

Chieng berkata, kemenangan itu penting bagi membolehkan kerajaan BN melaksanakan lebih banyak projek pembangunan rakyat di kawasan Bukit Assek.

“Saya telah melakukan program turun padang untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi penduduk di Bukit Assek. Masalah yang sering kali menjadi kebimbangan mereka ialah sistem perparitan yang menyebabkan kebanyakan rumah di sini dalam keadaan tenggelam dan tidak selamat untuk diduduki.

“Ini turut menjadi punca kawasan Bukit Assek merekodkan kes demam denggi yang tinggi di Sibu,” katanya.

Chieng memberitahu, masalah lain di Bukit Assek seperti kemudahan fasiliti di Poliklinik Oya juga perlu dinaik taraf bagi menampung kesesakaan orang ramai yang datang untuk menerima rawatan kesihatan dan masalah untuk memohon kebajikan kepada golongan yang memerlukan.

Justeru itu, Chieng menyeru penduduk di Bukit Assek membuat pilihan yang bijak dan memberi mandat kepada kerajaan BN pada PRN akan datang.

“Berikan sokongan kuat kepada kerajaan BN yang telah membawa pembangunan kepada rakyat tanpa mengira di bandar atau luar bandar,” tegasnya.

PRN ke-10 menyaksikan mendiang Wong Ho Leng (DAP) memenangi kerusi DUN Bukit Assek dengan 13,527 undi menewaskan Chieng Buong Toon (BN) yang memperolehi undi sebanyak 4,700 dan Hii Tiong Huat (Bebas) dengan hanya mendapat 180 undi.

Wong menang dengan majoriti 8,827 undi. Jumlah pengundi berdaftar di DUN Bukit Assek telah meningkat daripada 26,926 pengundi pada tahun 2011 kepada 28,908 pengundi pada tahun lepas. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget