Beri sokongan padu kepada Barisan Nasional


KUCHING: Rakyat harus memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) kelak, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud.
Perkara itu sering ditegasnya ketika berucap pada setiap majlis pemimpin bersama rakyat yang dihadirinya kerana sokongan padu daripada rakyat amat diperlukan bagi menguatkan lagi sokongan terhadap usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam menyuarakan hak rakyat di peringkat persekutuan.
“Berilah mandat yang besar kepada Ketua Menteri pada PRN11 nanti untuk membantu beliau terus mentadbir negeri Sarawak ke arah yang lebih baik lagi.
“Dengan majoriti yang besar dan sokongan padu daripada rakyat Sarawak, apa sahaja usaha yang disuarakan oleh Ketua Menteri kepada kerajaan persekutuan demi kebaikan semua pastinya akan dapat dicapai,” katanya.
Malah, Mohammad Ali memberitahu bahawa sejak memegang tampuk pemerintahan negeri, Adenan adalah seorang pemimpin yang mempunyai visi, dedikasi dan komited untuk melaksanakan dasar mengikut keperluan rakyat negeri ini.
Tegasnya lagi, sokongan padu kepada BN pada PRN nanti akan dapat memastikan usaha memajukan kawasan luar bandar dapat diteruskan dan diperhebatkan.
“Saya yakin semua penduduk di Sarawak menikmati lebih banyak pembangunan yang dirancang dan dilaksana oleh kerajaan menerusi agensi kerajaan negeri dan persekutuan dengan memberi sokongan padu kepada kerajaan BN,” katanya.
Menurutnya, antara kejayaan yang telah dicapai Adenan sepanjang mengambil alih tampuk pemerintahan ialah menunaikan janjinya menjadikan Sarawak bebas tol sepenuhnya.
“Beliau (Adenan) telah memansuhkan operasi kutipan tol di Plaza Tol Jambatan Tun Salahuddin, Petra Jaya, Jambatan Lanang di Sibu dan Jambatan ASEAN di Miri termasuk Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang lebih 1,000 kilometer (km) apabila siap kelak.
“Selain memansuhkan tol, Adenan juga telah menunaikan janjinya untuk menurunkan kadar tarif elektrik kepada pengguna domestik dan komersial di negeri ini, begitu juga dengan kadar caj perkhidmatan feri yang mana kini hanya dikenakan bayaran RM1.00 sahaja bagi semua perkhidmatan di seluruh Sarawak,” ujarnya.
Pada masa sama beliau memberitahu, banyak perkara yang telah dilakukan oleh Ketua Menteri sepanjang tempoh dua tahun mentadbir Sarawak.
“Apa lagi jika beliau diberi tempoh lima tahun lagi, pastinya seluruh rakyat akan terus mendapat manfaat.
“Malah, perjumpaan Adenan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penurunan kuasa bagi fasa pertama baru-baru ini juga telah membuahkan hasil berkaitan perkara pentadbiran di mana kebanyakan proses membuat keputusan bertindih antara agensi persekutuan dan negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat negeri ini menolak parti pembangkang yang hanya berjuang kerana motif tertentu tetapi tidak pernah memikirkan perjuangan untuk rakyat seperti yang dilakukan oleh kerajaan BN selama ini.

“Parti pembangkang hanya muncul pada musim pilihan raya hendak tiba, mereka pandai menabur janji tetapi tidak pernah mengotakannya,” ujarnya. – Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget