UPP cukup yakin Adenan pilih pasukan kuat hadapi PRN 2016


SIBU: Parti Rakyat Bersatu (UPP) yakin Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memilih rangkaian pasukan kuat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 ini bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti besar.

Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh berkata UPP tidak mahu mempunyai konflik atau bergaduh dengan mana-mana parti komponen BN lain terutama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Pemilihan calon-calon Cina daripada UPP perlu kita serahkan kepada kebijaksanaan Adenan untuk membuat keputusan. UPP adalah sebahagian daripada pasukannya.

“Calon UPP adalah sebahagian pasukan Adenan demi rakyat Sarawak dan perpaduan masyarakat Cina,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran UPP Bawang Assan, Pusat Khidmat UPP Sungai Sadit di sini, malam kelmarin.

Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu memberitahu, UPP mempunyai keyakinan penuh kepada Adenan dan menyokong sesiapa sahaja yang beliau pilih sebagai calon.

Menurutnya, dengan karisma dan populariti Adenan semua rakyat Sarawak perlu bersatu teguh di belakang beliau.

Masyarakat Cina perlu memberi beliau mandat lebih besar untuk menjamin pentadbirannya lima tahun akan datang.

“Pada masa sama, masyarakat Cina dari kawasan majoriti Cina perlu memberi sokongan kepada BN pada PRN akan datang. Ini untuk memastikan kaum Cina mempunyai wakil dalam kerajaan BN,” katanya.

Pengerusi Pusat Khidmat UPP Sungai Sadit Kapitan Ting Liang Hui berkata Sungai Sadit menyaksikan pembangunan pesat termasuk infrastruktur asas di bawah Wong sebagai wakil rakyat di situ.

Beliau berharap penduduk di kawasan itu terus menyokong Wong untuk pembangunan berterusan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.-THE BORNEO POST

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget