SPDP bersatu tuntut kerusi baharu Samalaju


BINTULU: Lima belas ranting Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Cawangan Samalaju telah tampil untuk menunjukkan perpaduan dan sokongan padu kepada tuntutan parti ke atas kerusi Samalaju dan calon parti yang berpotensi untuk diturunkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Hampir 200 ahli jawatankuasa daripada 15 ranting SPDP dalam kawasan Samalaju menghadiri Majlis Makan Malam Jawatankuasa Protem SPDP Cawangan Samalaju yang diadakan di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Dalam ucapannya, Pengerusi Jawatankuasa Protem Cawangan Samalaju Tuai Rumah Merudi Jalin meminta ahli berdiri teguh bersama parti dalam tuntutan ke atas kerusi Samalaju untuk SPDP.

“SPDP mengintai kerusi baharu ini sejak ia dibentuk daripada kawasan Kemena dan Kidurong. Selama ini ia adalah kubu kuat SPDP kerana ia terletak dalam kawasan Parlimen P217 Bintulu di mana presiden SPDP adalah Ahli Parlimen,” tegasnya.

Merudi berkata kerusi baharu itu sewajarnya diberikan kepada SPDP kerana SPDP mempunyai 15 ranting dengan 6,000 ahli di situ.

Penasihat Jawatankuasa Protem Cawangan Samalaju Hillary Mawan yang turut berucap pada majlis itu menegaskan bahawa rakyat di Samalaju harus menolak politik perkauman terutama di negeri Sarawak di mana penduduknya hidup dalam harmoni.

Beliau berkata pihak tertentu yang berkepentingan kebelakangan ini cuba menimbulkan sentimen Dayak selepas SPDP mengumumkan keputusan untuk mencalonkan Datuk Pau Chiong Ung sebagai calon yang berpotensi di Samalaju.

“Walaupun masyarakat Dayak adalah majoriti di kalangan pengundi di Samalaju, iaitu sekitar 8,000 orang, kita akan memilih calon berdasarkan keupayaan dan keikhlasannya untuk berkhidmat kepada rakyat bukan berdasarkan bangsanya,” katanya.

Hillary yang juga ahli Majlis Tertinggi SPDP berkata contoh ketara ialah Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, yang menunjukkan seorang pemimpin yang prihatin dan baik tidak semestinya daripada kaum sama sebaliknya boleh berbangsa Cina, Melayu, India dan sebagainya.

“Seperti yang kita lihat Datuk Seri Tiong contoh terbaik, beliau berkhidmat kepada semua rakyat Bintulu tanpa mengira latar belakang kaum.

“Hakikatnya sebahagian besar peruntukan Parlimennya digunakan untuk membangunkan projek-projek di luar bandar, menaik taraf rumah panjang demi manfaat komuniti Dayak,” ujarnya.

Beliau juga percaya Pau yang ketika ini seorang senator, mempunyai rekod cemerlang dan jika dipilih, sudah tentu akan berkhidmat untuk semua rakyat.

Sementara itu Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing mengucapkan terima kasih kepada wakil daripada 15 ranting yang telah hadir untuk memberi sokongan kepada parti.

Beliau menegaskan bahawa kehadiran lebih 200 ahli daripada semua ranting menunjukkan momentum sokongan yang tinggi pada peringkat akar umbi.

Beliau turut menyeru kepada ahli parti untuk mengukuhkan kesetiaan dan perpaduan di kalangan ahli-ahli ranting SPDP dalam kawasan Samalaju untuk memberi sokongan paling kuat kepada calon pilihan SPDP, Datuk Pau Chiong Ung.

“Majlis Tertinggi SPDP bersetuju sebulat suara dengan keputusan untuk menuntut kerusi Samalaju dan kerusi Mulu, iaitu sebahagian daripada 11 kerusi baharu dan Datuk Pau Chiong Ung adalah calon berpotensi tunggal yang dipilih oleh Majlis Tertinggi bagi Samalaju,” kata Tiong.

Tiong memberi amaran kepada mereka yang cuba menyebar sentimen perkauman agar menjauhkan diri dari Bintulu kerana politik perkauman tidak dialu-alukan oleh penduduk Bintulu dan semua rakyat Sarawak.

“Dalam SPDP, kita menerima kepelbagaian budaya dan kaum kerana semua rakyat Sarawak hidup bersama dalam harmoni.

“Kita tidak harus menjejaskan keindahan kepelbagaian kaum yang kita nikmati setakat ini. Maka itu, kita harus kata ‘tidak’ kepada politik perkauman,” tegasnya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget