WhatsApp henti sokong Blackberry


CALIFORNIA – WhatsApp akan menamatkan sokongannya terhadap telefon pintar Blackberry termasuk Blackberry 10 menjelang hujung tahun ini dalam usahanya untuk memberi lebih fokus kepada platform mudah alih yang digunakan oleh majoriti pengguna masa kini.

Selain Blackberry, WhatsApp juga akan menamatkan sokongan kepada Nokia S40, Nokia Symbian S60, Android 2.1, Android 2.2 dan juga Windows Phone 7.1.

Aplikasi mesej yang baru menyambut ulang tahun ketujuh minggu ini itu dalam laman webnya memberitahu, walaupun peranti terbabit penting dalam perkembangannya selama ini, namun peranti tersebut tidak menawarkan keupayaan yang mereka perlukan dalam mengembangkan aplikasi tersebut pada masa hadapan.

“Ia merupakan satu perjalanan yang menakjubkan dan pada bulan-bulan akan datang kami akan memberi penekanan yang lebih besar kepada ciri-ciri keselamatan dan lebih banyak cara untuk terus berhubung dengan orang-orang tersayang,” katanya dalam laman web di sini hari ini.

Oleh yang demikian, WhatsApp mengesyorkan pengguna yang menggunakan peranti terbabit untuk menaik taraf kepada telefon Android, iPhone, atau Windows yang lebih baharu sebelum akhir 2016 untuk terus menggunakan WhatsApp.

Menurut aplikasi yang diambil alih oleh Facebook pada 2014 tersebut, semasa ia diperkenalkan pada 2009, 70 peratus telefon pintar yang dijual di pasaran adalah yang beroperasi menggunakan sistem Blackberry dan Nokia.

Sementara itu, sistem operasi mudah alih Google, Apple dan Microsoft yang meliputi 99.5 peratus jualan ketika ini hanya mewakili 25 peratus jualan peranti buat masa tersebut.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget