KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri menyifatkan kenyataan
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mahu rakyat Sarawak
menolak PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) depan sebagai kenyataan tidak
berpijak di bumi nyata.
Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Jofri Jaraiee, Adenan tidak boleh
mengeluar kenyataan berbaur hasutan seolah-olah memburuk agama Islam di mata
rakyat bukan beragama Islam di negeri ini semata-mata memancing undian.
“Beliau (Adenan) sepatutnya sedar setiap kenyataan dikeluar, atas apa
tujuan sekalipun, lebih-lebih lagi PRN sudah semakin hampir, memburuk Islam
dengan mengatakan ideologi bawaan PAS (hukum hudud) sebagai sesuatu tidak
realistik adalah kenyataan tidak bijak.
“Sebaiknya beliau diam daripada mengeluar kenyataan menyentuh soal hukum
syariah termasuk pelaksanaan hudud kerana takut ia boleh menjejaskan akidah
sekiranya bertentangan daripada ajaran agama kita,” katanya kepada pemberita,
semalam.
Jelasnya, pelaksanaan hukum hudud tidak boleh dipersoalkan dan dijadikan
sebagai agenda politik kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mencermin
pelaksanaan hukum hudud sebagai ideologi tunggal yang diperjuang PAS sekiranya
berjaya mentadbir sesebuah negeri.
Malah menurutnya, semua orang tahu masyarakat Islam di Sarawak golongan
minoriti dan PAS juga tidak meletak calon bertanding di semua kerusi DUN pada
PRN kelak.
“Bagaimana PAS mahu melaksana hukum hudud di Sarawak sekiranya PAS belum
ada kuasa memerintah negeri ini?
“Jika ditakdir PAS menang semua 11 kerusi yang dipertanding sekalipun,
PAS tetap tidak mampu melaksana hukum Tuhan tersebut, mengambil kira banyak
faktor ketidaksesuaian lain,” katanya lagi.
Beliau turut melahirkan saranan agar Mufti Negeri memberi teguran dan
nasihat kepada Adenan supaya tidak mengeluar kenyataan seumpama itu kerana
sebagai umat Islam, sudah menjadi tanggungjawab menceritakan kebaikan agama
supaya ia dipandang mulia masyarakat bukan beragama Islam.
Menyentuh mengenai persiapan menjelang PRN, katanya, PAS bersedia
sepenuhnya dan bertanding mengikut kemampuan seadanya.
“Mungkin ada beranggapan dan mempersenda PAS umpama bermimpi di siang
hari tetapi PAS yakin apabila kita membantu agama Allah, pasti Allah membantu
kita mencapai hajat,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, PAS bukan semata-mata parti politik
tetapi badan dakwah serta tarbiyah mendidik umat Islam agar kembali ke jalan
diredhai Allah.
“Tujuan PAS ke Sarawak bukan semata-mata untuk bertanding mendapatkan
kuasa memerintah tetapi lebih kepada mengajak manusia ke arah kebaikan.
“Kita sentiasa turun padang memberi sumbangan dan kebajikan kepada semua
golongan masyarakat memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya lagi.
Tambahnya, kewujudan PAS
adalah sebagai ‘check and balance’ kepada pemerintah masa kini agar setiap
pelaksanaan pemerintahan dapat dilakukan dengan amanah, jujur dan adil kepada
semua. – Utusan Borneo.
Post a Comment