Mana-mana calon BN di Samalaju akan diberi sokongan


BINTULU: Sokongan akan tetap diberi kepada calon layak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu terutama di N.70 Samalaju pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini namun pastikan calon itu parti komponen Barisan Nasional (BN) serta orang tempatan yang sedia memberi perkhidmatan terbaik kepada kawasan itu.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu Johny Pang berkata, sememangnya parti menyokong penuh sekiranya calon diletakkan itu parti komponen BN namun rundingan perlu dibuat terlebih dahulu untuk memastikan calon itu bukan orang luar.

Katanya calon itu juga bukan sekadar hanya boleh menang pada PRN dan tidak hanya sekali-sekala menampakkan muka atau jarang menampakkan muka apabila rakyat memerlukan perkhidmatannya, tetapi memberi khidmat kepada rakyat secara berterusan.

“Kami tidak mahu sekadar calon yang hanya boleh menang tetapi selepas itu tidak melakukan apa-apa kerja selepas menang,” ujarnya semasa ditemu bual media sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya di Tanjung Batu semalam.

Beliau berkata, memandangkan kawasan DUN Kidurong kini telah melalui persempadanan semula dengan dipecah kepada dua kawasan DUN merangkumi N.68 Tanjung Batu dan N.70 Samalaju, sememangnya pihak SUPP ada meminta peruntukan untuk kerusi yang dipecahkan itu.

“SUPP telah lama memberi perkhidmatan kepada rakyat di Kidurong termasuk Suai dan kali ini kami meminta agar kerusi yang dipecah itu turut diperuntukkan kepada kami agar calon yang sesuai mewakili parti kami dapat bertanding di kawasan itu.

“Kami memang ada membincang mengenai dua kerusi itu dan bersiap sedia dengan calon-calon yang ada untuk bertanding di kawasan itu.

“Malahan nama-nama calon mewakili SUPP juga telah dikemukakan kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk dipertimbangkan,” jelasnya.

Dengan mengemukakan calon-calon itu sekiranya dipertimbangkan untuk bertanding di situ, beliau berharap rakyat akan memberi sokongan penuh kepada SUPP termasuk sokongan penuh terhadap BN di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Katanya seperti yang sering diperkatakan oleh Ketua Menteri sebelum ini yang tidak mahu parti-parti dari Semenanjung Malaysia di negeri ini maka saya ingin menjelaskan bahawa SUPP merupakan parti tempatan Sarawak yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kami berharap rakyat akan memberi sokongan penuh kepada calon SUPP yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Kami tidak akan berhenti setakat ini malah akan meneruskan perkhidmatan secara berterusan kepada rakyat,” katanya sambil tidak mendedahkan nama-nama calon berpotensi mewakili SUPP yang telah dikemukakan kepada pengerusi BN Sarawak. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget