Bidayuh tidak boleh berpecah, perlu bersatu pastikan kemenangan BN


BAU: Masyarakat Bidayuh tidak boleh berpecah dan perlu bersatu dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) akan datang.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, masyarakat Bidayuh merupakan kaum minoriti dengan hanya lapan peratus di Sarawak.

Sebagai kaum minoriti bukan sahaja di Sarawak tetapi juga Malaysia, adalah mustahil untuk masyarakat Bidayuh merampas kuasa besar.

Tetapi katanya, jika masyarakat Bidayuh seramai hanya 200,000  ini bersatu padu, beliau percaya Bidayuh tidak akan tertinggal sebaliknya dihormati oleh kaum-kaum lain.

“Jika kita berpecah dan memilih pembangkang sudah tentu suara Bidayuh tidak dapat didengari. Sebab itu apabila berkempen, kita tidak menyentuh perkara-perkara berkaitan parti lagi.

“Sebagai contoh apabila saya berkempen untuk Datuk Seri Dr James Dawos Mamit dan Datuk Seri Richard Riot Jaem saya menyebut mereka sebagai calon Bidayuh yang mewakili BN dan bukannya parti.

“Jika kita kata Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan dua lagi parti baharu, Bidayuh sudah berpecah.

“Sebab itu, pada PRN11 nanti hanya lihat pada lambang BN dan bukannya parti atau muka calon,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pejabat Perhubungan dan Jentera PRN11 PBB bagi Cawangan N.18 Serembu di sini, semalam.

Tambah Manyin lagi, pada PRN11 nanti, masyarakat Bidayuh juga harus ingat bahawa 80 peratus daripada Bidayuh tinggal di kawasan luar bandar.

Ini bermaksud, masih ramai kaum Bidayuh yang hidup dalam kemiskinan serta kurang dari segi penyertaan dalam bidang perniagaan dan profesional.

“BN pasti akan menang pada PRN11 nanti dan adalah mustahil untuk parti-parti pembangkang merampas kerajaan BN.

“Jadi, siapa yang dapat membantu kita Bidayuh selain kerajaan BN. Sebab itu pada PRN11 nanti, kita jangan lihat pada calon  atau parti tetapi hanya lihat kepada lambang BN,” tambahnya. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget