Pakatan Harapan tak tanding semua kerusi PRN Sarawak


SHAH ALAM: Pakatan Harapan mungkin tidak bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Kemungkinan itu wujud kerana prinsip Pakatan Harapan yang mahu pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRN berkenaan.

Ketua Sekretariatnya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya sedang menimbang kemungkinan itu selepas mendapati PAS serius untuk menghantar wakil bertanding di PRN Sarawak.

“Kita ambil pertimbangan bahawa PAS akan bertanding di Sarawak, namun perkara ini perlu dirundingkan terlebih dahulu antara Pakatan Harapan dengan PAS.

“Ada kerusi DUN yang akan diberi kepada PAS dan Pakatan Harapan bersedia untuk membenarkannya. Kita juga tahu PAS menyasarkan kerusi yang mana satu,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pembahagian kerusi parti komponen Pakatan Harapan bersempena PRN Sarawak, di sini, hari ini.

PRN Sarawak dijangka diadakan dalam suku kedua tahun ini susulan pengumuman Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang mencadangkan PRN pada akhir April ini. PRN Sarawak kali kini menyaksikan sebanyak 82 kerusi DUN akan dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pembahagian kerusi untuk ditandingi antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) masih belum mencapai sebarang persetujuan muktamad dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini.

Katanya, perkara berkenaan masih lagi dalam peringkat rundingan bagi menyelesaikan semua pertindihan kerusi yang timbul dan berharap ianya boleh diselesaikan selewat-lewatnya pada penghujung Mac ini. - FMT

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget