Jambatan Batang Lupar buka kawasan pesisir kepada pembangunan lebih pesat


KUCHING: Pembinaan Jambatan Batang Lupar akan membuka kawasan pesisir pantai di negeri ini kepada pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi yang lebih pesat.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata kawasan luar bandar yang bakal menerima impak positif langsung daripada pembangunan jambatan tersebut apabila siap nanti ialah Kabong, Saratok, Lingga, kampung-kampung dan pekan-pekan berdekatan.

“Kerajaan pusat telah meluluskan cadangan pembinaan Jambatan Batang Lupar di Sri Aman, maknanya jambatan ini akan menghubungkan jalan-jalan pesisir pantai seterusnya membuka kawasan-kawasan di pesisir pantai seperti Kabong, Saratok, Lingga dan kawasan sekitarnya kepada pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi lebih pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini, yang turut dihadiri Menteri Muda Perumahan merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata dengan siapnya jalan pesisir nanti, kerajaan negeri dan pusat dapat mempercepatkan lagi pembangunan di kawasan luar bandar negeri ini.

“Dengan kata lain, kerajaan akan membangunkan infrastruktur asas, yang akhirnya jalan pesisir ini keluar di Bintulu dan seterusnya bersambung dengan Lebuh Raya Pan Borneo. Maknanya Sarawak akan mempunyai dua lebuh raya, Pan Borneo dan jalan pesisir.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kerajaan negeri menekankan kepada pembangunan luar bandar dengan mengagihkan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk membangunkan luar bandar.

Usaha itu katanya, disokong kerajaan pusat yang akan membangunkan Lebuh Raya Pan Borneo, menjadi jaringan membangunkan luar bandar dan pembinaan projek ini menelan belanja besar, sekitar RM16 bilion.

“Saya percaya dengan perancangan seperti ini, Sarawak akan membangun dengan cemerlang dan rapi khususnya dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar,” ujarnya.

Ditanya mengenai lokasi pembinaan Jambatan Batang Lupar, Abang Johari berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Insfrastruktur dan Perhubungan sedang membuat kajian mengenai perkara itu.

Sebelum ini Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek pembinaan Jambatan Batang Lupar bakal menelan kos kira-kira RM800 juta.

Katanya jambatan yang bakal menghubungkan bandar-bandar di bahagian Kuching dan Samarahan ke Triso Betong sehingga Miri, dianggarkan berukuran lima kilometer (km) panjang.

Tambah Fadillah lagi, ia bakal mewujudkan jalan utama antara bandar kedua di Sarawak.

“Jika kita menggunakan jalan pesisir dari Kuching ke Triso, Betong, jarak perjalanannya adalah kurang daripada 100km berbanding 240km sepanjang jalan utama ke Pusa dan Triso.

“Pada masa ini, orang ramai boleh menggunakan jalan utama pertama (Jalan Pan Borneo) dan jalan raya pesisir pantai di Sarawak tetapi perlu menggunakan beberapa feri untuk menyeberangi kawasan tersebut,” jelasnya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget