Saya tidak punya wang berbilion, kenapa perlu isytihar aset, kata Dr Mahathir


Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa beliau perlu mengisytiharkan aset yang dimilikinya kerana beliau tidak memiliki wang berbilion dalam akaun.

Kenyataan bekas perdana menteri itu susulan cabaran dibuat sebuah badan bukan kerajaan yang mencabarnya mengisytiharkan asetnya selama memerintah negara 22 tahun.

"Sudah tentu, semasa saya menjadi perdana menteri saya boleh menyimpan duit kerana semuanya dibayar kerajaan.

"Itu sahaja yang saya ada. Bukan berbilion dolar. Saya tidak ada wang berbilion dalam akaun peribadi saya," kata Dr Mahathir kepada wartawan selepas merasmikan Ehime Fair di KLCC pagi ini.

Malah, Dr Mahathir berkata beliau pernah menolak ketika ditawarkan sekeping tanah kepadanya dan sebaliknya membeli tanah menggunakan wangnya sendiri.

"Saya tidak memiliki apa-apa. Semasa saya bersara, mereka tawarkan saya tanah, tetapi saya tolak. Saya bayar untuk tanah itu. 

"Semua benda yang diberikan kepada saya sudah diberikan balik kepada kerajaan. Saya tidak ambil apa-apa. Saya hanya dapat apa yang berhak untuk saya," katanya.

Awal minggu ini, Pertubuhan Minda Sosial dan Prihatin (PMSP) menyerahkan memorandum kepada Dr Mahathir, mendesak bekas perdana menteri itu mengisytiharkan harta keluarganya di dalam dan luar negara.

Presidennya Ramesh Rao mendakwa, pihaknya menghantar memorandum terbabit kerana menerima laporan Dr Mahathir memiliki sejumlah harta yang luar biasa nilainya di Argentina, Australia, Sydney, Langkawi dan Subang Jaya hasil pemerintahannya selama 22 tahun.

Menurutnya, seorang penulis antarabangsa, Barry Wain, dalam bukunya bertajuk Malaysia Maverick: Mahathir Mohamad In Turbulent Times mendakwa Dr Mahathir mempunyai harta bernilai berbilion di luar negara.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget