Sokongan Cina Memacu Perjuangan Adenan


KUCHING: Masyarakat Cina di negeri ini diminta untuk terus memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat besar serta peluang perlu diberikan kepada Adenan bagi meneruskan perjuangannya untuk mentadbir Sarawak.

“Besar harapan saya agar masyarakat Cina di seluruh negeri untuk memberikan sokongan padu kepada Adenan bagi meneruskan pemerintahannya dalam mentadbir negeri.

“Orang lain boleh mengkritik, tapi mereka tidak menyumbang atau membawa apa-apa pembangunan. Mereka bercakap mengenai kestabilan dan keharmonian tetapi mereka juga mengeruhkan keadaan.

“Justeru, saya merayu dengan masyarakat Cina, khasnya untuk menutup buku lama dan melupakan mengenai PRN lepas dan membuka lembaran baharu sekali gus memberikan sokongan penuh kepada Adenan kali ini (PRN),” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Dewan Masyarakat MBKS, di sini, semalam.

Turut hadir memeriahkan sambutan TBC semalam ialah Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh, Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Dr James Masing, Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat serta ketua-ketua masyarakat.

Ahmad Zahid juga melahirkan perasaan gembira menyaksikan reaksi positif yang memberangsangkan daripada warga kota dalam sambutan TBC bersama-sama walaupun berbeza kaum dan agama.

“Inilah amalan kebudayaan pelbagai yang kita mahukan. Kita hendaklah sentiasa berpegang teguh serta mengukuhkan lagi amalan ini dalam memacu negeri yang harmoni dan sejahtera.

“Pada masa sama, ia amat penting kerana ia adalah kunci ke arah kestabilan politik dan pembangunan ekonomi, justeru, marilah kita bersama-sama mengekalkan kesejahteraan sedia ada,” katanya.

Mengulas mengenai majlis sambutan rumah terbuka itu, beliau turut memuji penganjur majlis iaitu MBKS di bawah pentadbiran Datuk Bandaraya Kuching Selatan Datuk James Chan kerana berjaya mengadakan majlis yang dihadiri ribuan masyarakat pelbagai kaum.

“Sambutan hari ini (semalam) jelas membuktikan masyarakat di sini (Sarawak) mempunyai semangat kekitaan yang kuat kerana meskipun majlis ini adalah sambutan masyarakat Cina, ia turut sama dihadiri masyarakat lain termasuk Melayu, Melanau, Iban dan etnik-etnik lain dalam suasana yang harmoni,” jelasnya.- Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget