Zeti harap siasatan 1MDB selesai sebelum khidmatnya tamat


Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berharap dapat melihat siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai sebelum tempoh 5 tahun perkhidmatannya berakhir April ini.

"Itu apa yang saya nyatakan dan ke arah itulah hala tuju usaha saya, (iaitu), menyelesaikannya (siasatan 1MDB) semasa masih di dalam tempoh perkhidmatan saya, supaya gabenor selepas ini boleh memulakan tugasnya dengan rekod yang bersih," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Asia School of Business, dengan kerjasama MIT Sloan School of Management di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada beliau yakin siasatan ke atas skandal 1MDB dapat diselesaikan semasa tempoh perkhidmatannya sebagai gabenor bank negara.

Ketika ditanya perkembangan terbaru siasatan BNM berhubung ketidakupayaan 1MDB membawa pulang kira-kira AS$1.83 bilion, Zeti enggan mengulas, mengatakan ia terlalu awal untuk diperkatakan.

"Tiada apa yang diputuskan dan terlalu awal untuk mengulas," katanya.

Zeti sebelum ini berkata BNM sedang mengesahkan kenyataan 1MDB selepas syarikat pelaburan negara itu mendakwa ia tidak dapat membawa balik AS$1.83 bilion, kerana wang itu sudah digunakan.

1MDB secara terbuka menyatakan dana AS$1.83 bilion bagi penebusan pelaburan luar pesisir sudah digunakan dan diperuntukkan untuk kerja aset sebagai sebahagian daripada rancangan rasionalisasi.

"BNM sedang mengesahkan (kenyataan itu) sekarang dan akan mengambil kira sebarang komitmen tegas dibuat 1MDB di bawah pelan rasionalisasinya, yang boleh menyumbang kepada pengurangan beban hutangnya," katanya.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget