SUPP harus bersatu raih kepercayaan


SARIKEI: Semua ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) harus bersatu semula jika ingin memastikan parti ini terus kukuh dan terus mendapat kepercayaan penuh peringkat akar umbi parti.
Pelobi SUPP Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok Teng Ung Woo berkata, setiap pertikaian dan pertelingkahan sesama sendiri dalam parti itu harus diatasi sebaiknya.
“Jika pertelingkahan ini diteruskan ia tidak akan membawa kita ke mana-mana tetapi apa yang jelas bakal berlaku ialah kehancuran dan perpecahan.
“Tiada pihak lain yang mampu membawa kita ke arah kejernihan ini selain daripada kita sendiri, oleh yang demikian kita harus berusaha membaiki kekusutan yang telah berlaku.
“Langkah ini adalah satu landasan untuk membuktikan bahawa perjuangan politik parti-parti yang bernaung di bawah payung BN adalah berjuang untuk satu tujuan sahaja iaitu untuk rakyat dan bukan untuk agenda-agenda lain,” ujarnya.
Teng berkata demikian ketika mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina ke beberapa premis perniagaan di sekitar bandar ini, semalam.
Menurut Teng, perjuangan SUPP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang merupakan satu perjuangan yang amat penting.
Oleh yang demikian katanya, ahli-ahli SUPP harus bergabung tenaga dan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi untuk mengembalikan semula kepercayaan masyarakat terhadap SUPP.
“Perjuangan dalam PRN pada kali ini amat penting terutama dalam usaha SUPP merebut semula kerusi-kerusi yang telah ditawan oleh parti pembangkang, khususnya yang melibatkan kerusi-kerusi DUN di kawasan bandar,” tegasnya.
Pada masa yang sama kata Teng, masyarakat harus bersyukur kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) menjadi tampuk utama pentadbiran negara selama ini.

“Banyak kemajuan dan pembangunan telah dibawa oleh kerajaan BN ke seluruh pelosok negara ini. Situasi ini menggambarkan bahawa kerajaan BN telah berjaya menerajui negara ini dan membawanya ke persada kemajuan yang mampan,” ujar Teng. – Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget