70 Kerusi Sasaran BN SARAWAK


KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak mustahil bagi Barisan Nasional (BN) memenangi lebih 70 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada ketekunan jentera pilihan raya BN dalam meraih kepercayaan dan keyakinan di kalangan rakyat pelbagai lapisan agar BN melebihi jumlah sasaran itu.

“Sebagai ahli politik yang praktikal, kita perlu bekerja bukan sahaja lebih gigih tetapi juga perlu bekerja dengan bijak untuk mendapatkan sokongan dari segenap lapisan masyarakat.

“Jika jentera pilihan raya BN bekerja lebih gigih mungkin bilangan kerusi dimenangi akan lebih banyak,” ujarnya kepada pemberita ketika mengunjungi kediaman Pengarah Urusan KTS Dato Henry Lau sempena Tahun Baharu Cina di sini, semalam.

Susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak yang diluluskan pada tahun lepas, bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri bertambah kepada 82 daripada 71 kerusi.

Menurut Ahmad Zahid lagi, jentera BN juga perlu meningkatkan usaha di kawasan majoriti Cina jika ingin menambah bilangan kerusi dimenangi pada pilihan raya yang dijangka diadakan pada April ini.

Antara isu membabitkan masyarakat Cina di Sarawak ialah Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang tidak diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan untuk digunakan memasuki universiti awam.

UEC, sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia (MICSS), telah diiktiraf oleh kerajaan negeri pada tahun lepas untuk digunakan mereka yang memilikinya memasuki perkhidmatan awam negeri.

Isu pengiktirafan UEC akan dibincangkan lebih terperinci oleh kabinet persekutuan yang menurutnya telah diketengahkan oleh Menteri Pendidikan, tetapi belum dimuktamadkan keputusannya.

“Kita akan bincang lagi,” katanya.

Mengenai cabaran pilihan raya, Ahmad Zahid berkata pembangkang akan tetap berusaha untuk memburukkan BN.

“Pembangkang tidak putus asa mengaitkan kegagalan kerajaan BN menunaikan janji,” katanya sambil menambah, rakyat sudah bijak menilai tuduhan yang dilemparkan pembangkang.- Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget