Ketua Menteri Sarawak gagal pertahan hak rakyat


KOTA BHARU : Tan Sri Adenan Satem dianggap belum cukup berwibawa bagi mempertahankan hak-hak rakyat Sarawak apabila menangguh tuntutan royalti petroleum kepada 20 peratus.

Sedangkan sebelum ini rakyat Sarawak meletak pengharapan tinggi kepada ketua menteri baharu bagi memperjuangkan hak mereka terhadap kerajaan persekutuan.

Pengarah Operasi PAS Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Dr Wan Nik Wan Yussof berkata rakyat negeri tersebut meletak kepercayaan tinggi kepada ketua menteri baharu.

Namun katanya harapan itu nampaknya tidak mampu menjadi kenyataan apabila tiba-tiba ketua menteri mengumumkan menangguh tuntutan royalti petroleum 20 peratus.

“Pengumuman itu amat mengecewakan rakyat kerana usulnya mengenainya telah dilulus di persidangan Dun Sarawak lebih setahun lalu,” katanya di sini.

Pada 6 Mei 2014 Dun Sarawak meluluskan usul bagi memohon Kerajaan Persekutuan menambah bayaran royalti minyak dan gas daripada lima peratus sekarang kepada 20 peratus.

Usul dibentang Abdullah Saidol (BN-Semop) mendapat sokongan sebulat suara 68 anggota dewan yang hadir.

Bagaimanapun malangnya pada 31 Januari lepas Adenan mengumumkan menangguh tuntutan royalti minyak 20 peratus dengan alasan kejatuhan harga minyak dunia yang menjejaskan kewangan kerajaan pusat.

Dr Wan Nik berkata apabila seorang ketua menteri tidak mampu mempertahan usul yang dilulus di Dun, kewibawaannya hilang di mata rakyat.

“Oleh itu rakyat Sarawak perlu membuat perhitungan baharu dengan memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa dan tegas mempertahankan hak rakyat Sarawak.

“Sudah 53 tahun Sarawak berada di bawah kerajaan BN namun masih lagi banyak ketinggalan berbanding negeri lain biar pun buminya kaya sumber asli,” katanya.

Katanya juga rakyat Sarawak perlu ada kesungguhan untuk keluar daripada penguasaan BN dengan memilih parti yang benar-benar ada prinsip dan perjuangan. –Harakah Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget