MIRI: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yakin bahawa calonnya, Mohammad
Arifiazul Paijo yang bertanding di kerusi DUN Lambir bakal mendapat sokongan
pengundi.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
berkata, sokongan masyarakat di konstituensi berkenaan kepada PAS semakin ramai
dan berharap calon akan menjadi ADUN sulung PAS.
“Kita mempertaruh 11 kerusi pada pilihan raya kali ini dan Lambir salah
satu kerusi kita sasar untuk menang berdasar sokongan kuat masyarakat di
kawasan terbabit kepada kita,” katanya dalam sidang media diadakan di sini
semalam.
PAS meletak calon Lambir merupakan usahawan, 32 tahun, anak tempatan
yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, bagi kerusi DUN berkenaan.
Jelas Nik Mohamad Abduh, keyakinan PAS untuk menang kerana matlamat
utama membantu membangun Sarawak dan bersama membantu menyelesaikan isu yang
disuara rakyat.
“Walaupun PAS tidak bertanding besar sebagaimana parti lain, tetapi kita
yakin dengan kesungguhan, kita ingin membawa perubahan di Sarawak.
“Jentera kita juga semakin hari semakin gagah, kita turut membawa
jentera kita datang ke Sarawak dalam membantu memperkasakan jentera di sini,”
katanya.
Jelas Nik Mohamad Abduh, ahli jentera parti adalah rakyat tempatan
seperti masyarakat tinggal di kawasan berhampiran Kampung Subak, Tukau,
Peninjau dan sebagainya.
“Diharapkan kehadiran PAS di negeri ini akan menambahkan lagi perpaduan
rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Arifiazul memberitahu beliau turun padang bertemu rakyat
hampir keseluruhan kawasan Lambir termasuk rumah panjang dalam usaha meraih
sokongan.
“Kita tidak bekerja mengikut musim, bahkan kita mula bergerak dikawasan
DUN Lambir sebelum pilihan raya yang dulu lagi.
“Sejak pilihan raya lepas hingga ke hari ini, sokongan masyarakat
berbilang kaum berterusan kerana mereka melihat PAS memberikan perkhidmatan
baik,” katanya.
Jelasnya, parti akan memainkan peranan dalam membantu menyelesaikan masalah
rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, sesetengah masalah yang bersifat skala kecil pula akan
diselesaikan di peringkat PAS sendiri seperti projek-projek kecil.
Katanya, tiga isu utama akan menjadi perhatian PAS ialah mengenai isu
tanah, infrastruktur dan ekonomi rakyat.
Terdahulu, Nik Mohamad Abduh merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali
ketujuh PAS Kawasan Miri yang sekali gus melancarkan Jentera Pilihanraya PAS
Lambir.
Hadir sama Pesuruhjaya PAS
Sarawak merangkap Ketua PAS Miri Jofrie Jaraiee. – Utusan Borneo.
Post a Comment