KUCHING: Kementerian Kerja Raya harus melibatkan kontraktor G6 atau
Kelas B ke bawah termasuk Kelas F, E dan C di negeri ini dalam projek Lebuh
Raya Pan Borneo Sarawak.
Menyarankan demikian, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan
Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata ia bagi memberi peluang
kepada golongan kontraktor terbabit menceburkan diri dalam projek mega
tersebut.
“Saya bagi pihak usahawan di Sarawak memohon kepada kementerian
berkenaan supaya beberapa komponen pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak
diberikan kepada kontraktor G6 ke bawah.
“Ini kerana ramai di kalangan mereka telah menyuarakan hasrat untuk
menceburkan diri dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo ini,” katanya pada sidang
media sempena Sesi Rangkaian Syarikat-Syarikat Berprestasi Tinggi (TERAS) di
sini, semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera,
Jabatan Perdana Menteri Datuk Husni Salleh.
Selain itu, Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber turut
menyuarakan agar projek persekutuan yang dilaksanakan di Sarawak dilonggarkan
syarat kepada para kontraktor di negeri ini.
Jelasnya, ia khususnya melibatkan pengambilan dokumen tender di mana
pada masa ini ia harus diambil di Putrajaya.
Justeru, beliau berkata Kementerian Kerja Raya perlu memberi kuasa
kepada agensi mereka di Sarawak untuk menguruskan pengambilan dokumen tender
terbabit agar dapat menjimatkan kos para kontraktor di negeri ini.
“Sebagai contoh pembinaan bangunan sekolah di pedalaman… sebelum
kontraktor mengambil dokumen tender, mereka perlu melihat tapak di kawasan
berkenaan dan selepas itu baharulah boleh pergi mengambil dokumen tender di
Kuala Lumpur.
“Kemudian mereka perlu balik untuk membuat pemeriksaan, survei dan
sebagainya untuk dilengkapkan dalam dokumen tender tersebut dan menghantar
balik ke Kuala Lumpur.
“Maka ini melibatkan banyak kos kepada kontraktor kita sedangkan mereka
belum pasti mendapat projek tersebut,” katanya. – Utusan Borneo.
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.