Mahdzir bincang isu pendidikan dengan Adenan

Sentuh mengenai pemerkasaan bahasa Inggeris, penempatan guru tempatan di Sarawak

KUCHING: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dijadualkan bertemu Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem hari ini bagi membincangkan beberapa aspek pendidikan di Sarawak dengan lebih lanjut.

Menurut beliau, perbincangan itu akan menyentuh mengenai pemerkasaan penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan dan berhubung penempatan lebih ramai guru tempatan untuk mengajar di sekolah-sekolah di negeri ini.

“Esok (hari ini) saya ada kesempatan untuk temu janji dengan beliau (Adenan) jadi saya akan berbincang lanjut mengenai perkara berkaitan (pendidikan di Sarawak) dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, Pengarah Institut Aminuddin Baki Serina Sauni dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Rakayah Madon.

Mahdzir berkata, beliau sememangnya menyokong pendirian Adenan dalam membangunkan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris demi melahirkan para pelajar yang fasih dalam pelbagai bahasa serta lebih bersedia menghadapi cabaran global.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, kemahiran untuk menguasai pelbagai bahasa adalah penting,” katanya.

Mengenai usaha menempatkan lebih ramai guru tempatan di negeri ini, dengan nisbah 90:10 iaitu 90 peratus guru ialah anak tempatan manakala 10 peratus lagi berasal dari negeri lain, beliau berkata usaha ke arah itu telah dimulakan.

“Kita telah pun mengadakan temu duga bersama 181 orang dan mereka sudah ditempatkan di sekolah-sekolah serata negeri sejak Februari lalu.

“Kita cuba untuk merekrut lebih ramai daripada pasaran terbuka bagi mereka yang mempunyai kelayakan sewajarnya dan juga daripada pengambilan semasa dalam institusi latihan guru,” katanya.

Mahdzir turut memberitahu dalam ucapannya bahawa kementerian akan terus membantu Sarawak khasnya dalam meningkatkan kemudahan dan prasarana di sekolah-sekolah selari dengan keperluan semasa.

Konvensyen bertemakan ‘Sehati Sejiwa Senada’ itu dihadiri kira-kira 2,500 individu di mana beberapa kertas kerja turut dibentangkan oleh tokoh-tokoh pendidik.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget