Bagi menentukan setiap anggota UMNO
terikat dengan disiplin parti
KLUANG: Keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk menggantung jawatan Tan
Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO, dibuat bukan bertujuan
memecah-belahkan parti.
Sebaliknya, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah
merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak,
ia bagi menentukan setiap anggota UMNO terikat dengan disiplin parti, biarpun
apa jua jawatannya.
Kata Salleh, beliau percaya keputusan itu dibuat secara menyeluruh,
antaranya selepas mempertimbangkan tugas sebenar seorang timbalan presiden,
yang harus mampu membantu presiden dalam menguatkan parti.
“Tetapi, dalam hal ini, mereka (MT UMNO) berpendapat Tan Sri Muhyiddin
gagal berbuat demikian. Itu sebab, mereka berasakan jawatan beliau sebagai
timbalan presiden perlu digantung.
“Bagaimanapun, beliau masih boleh terus memainkan peranan sebagai Ketua
UMNO Bahagian Pagoh dan anggota parti kerana ini bukannya penggantungan
keahlian, ia hanya penggantungan menjalankan tugas,” katanya.
Salleh ditemui pemberita dalam majlis perasmian Kempen Keahlian dan
Daftar Pengundi 2016 dan Mini Karnival Orang Muda anjuran Pergerakan Puteri
UMNO Malaysia di Dataran Persiaran Kluang di sini semalam.
Dalam mesyuaratnya di Kuala Lumpur kelmarin, MT UMNO sebulat suara
membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti
berkuat kuasa serta-merta.
Berikutan keputusan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan menjalankan tugas timbalan
presiden parti.
Salleh berkata keputusan juga harus dilakukan disebabkan dalam
sesetengah isu, Muhyiddin mempunyai pendapat dan pendirian berbeza daripada
parti, dan ini memungkinkan kekuatan parti terjejas.
“Prinsipnya, seorang timbalan presiden mesti dapat menjalin kerjasama
erat dengan presiden dalam menghadapi masalah mendatang. Tambahan pula sekarang
ini, kita menghadapi masalah ekonomi dunia dan sedar atau tidak sedar, masalah
itu turut kita rasai.
“Dalam konteks sedemikian, kita harus bekerjasama agar dasar-dasar
kerajaan dalam menangani permasalahan ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin,”
katanya.
Ditanya sama ada keputusan itu akan menjejaskan kepercayaan rakyat
terhadap UMNO, Salleh berkata rakyat masih yakin dengan UMNO, namun parti harus
bijak menangani persepsi negatif yang akan dilontarkan sesetengah pihak
menerusi media sosial.
“Dahulu kita tidak memikir ini (media sosial) penting kerana menurut
mentaliti, kita hendak guna cara konvensional iaitu perjumpaan dan pertemuan
bersama rakyat.
“Tetapi, sebenarnya, ada lagi perkara lain yang perlu kita tangani iaitu
media sosial. Kita tidak boleh membiarkannya, sebab itu kita kena melibatkan
diri,” katanya. — Bernama
Post a Comment