KUCHING: Kejayaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem
mentadbir negeri ini ke arah lebih cemerlang terbukti dengan setiap pencapaian
dikecapi Sarawak masa kini.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang
Tengah Ali Hasan berkata banyak kejayaan dilakarkan oleh Adenan sejak memegang
tampuk kepimpinan negeri.
“Cerita kejayaan berkisar tentang seorang lelaki iaitu Yang Amat
Berhormat Ketua Menteri kita, keikhlasan, jujur dan gaya pragmatik beliau
sentiasa diceritakan di bibir rakyat.
“Beliau seorang berpijak di bumi nyata dengan dasar lebih kepada
kepentingan rakyat secara keseluruhan dan sudah tentu semua ini menjadikan
pembangkang benci apa yang dilakukannya,” katanya pada jamuan malam bersama
pengamal media anjuran Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) di sini malam
kelmarin.
Menteri Kemudahan Awam itu memberitahu, semua cerita kejayaan Adenan
disaksikan pengamal media dan diceritakan dalam setiap dada akhbar mahupun di
portal berita atas talian dan televisyen.
Beliau turut menyentuh mengenai program Sejiwa Senada dianjurkan
Kerajaan Negeri bertujuan untuk memasyarakatkan jabatan-jabatan dan
agensi-agensi kerajaan negeri ini.
Malah, menteri pembangunan perindustrian itu berkata pemansuhan tol,
pembinaan Lebuh Raya PanBorneo, pembanterasan aktiviti pembalakan haram,
Program ‘Go Rural’ dan banyak lagi antara kejayaan dibawa oleh Adenan sejak
lebih dua tahun menjadi Ketua Menteri.
“Justeru, anda (pengamal media) boleh menceritakan kejayaan ini dengan
menghasilkan artikal supaya rakyat mengetahui maklumat tentang usaha yang telah
kerajaan lakukan mengikut kreativiti penulisan anda sendiri,” katanya.
Pada majlis itu, Awang Tengah turut mengumumkan sumbangan sejumlah
RM30,000 kepada KDJA.
Hadir sama Menteri Muda
Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi
Utom, Menteri Muda Kemudahan (Kemudahan Air) Datuk Sylvester Entri Muran,
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohammad, Presiden
KDJA, Jason Yong serta tetamu lain. – Utusan Borneo.
Post a Comment