Mawan kecewa kerusi penting DUN Tasik Biru dan DUN Marudi milik SPDP


KUCHING: Tentunya Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Tan Sri William Mawan Ikom mempunyai alasan yang cukup munasabah untuk membatalkan sidang medianya hari ini, kerana parti itu diramalkan akan kehilangan dua kerusi pentingnya — Dun Tasik Biru dan Dun Marudi.

Berdasarkan risikan dan maklumat dalaman yang diperoleh sarawakvoice.com, dua penyandang kerusi tersebut — Datuk Sylvester Entri Muran (Dun Marudi) dan Datuk Peter Nansian Ngusie (Dun Tasik Biru) bakal digugurkan bagi memberi ruang kepada calon Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) memasuki gelanggang.

Dua calon yang tidak kurang hebat dan “heavyweight” tersebut ialah Datu Dr Pengguang Manggil di Dun Marudi dan Datuk Harry Henry Jinep di Dun Tasik Biru.

Difahamkan kedua-duanya akan bertanding atas bendera “calon langsung BN” dan telah dipanggil untuk berjumpa dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini.

Malah menurut sumber tersebut, satu mesyuarat khas dan tergempar oleh SPDP telah dilangsungkan di Hotel Tanah Mas di Sibu semalam bagi merincikan perkara tersebut.

Harry yang merupakan ahli perniagaan telah beberapa kali disenaraikan sebagai calon, namun hanya kali ini beliau terpilih kerana berjaya memperoleh sokongan kuat akar umbi, kata seorang pemerhati politik komuniti tersebut.

DUN Tasik Biru merupakan salah satu daripada lapan kerusi majoriti Bidayuh dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Pada 2011, Nansian menang dengan majoriti 2072 undi setelah memperoleh 5,829 undi, menewaskan John Tenewi Nuek (PKR) 3,757 undi dan Frankie Jurem Nyombui (SNAP) 825 undi.

Dalam saingan kali ini, seramai 17,041 pemilih Tasik Biru layak mengundi dengan 50.44 peratusnya adalah lelaki dan 49.56 peratus ada perempuan.

Daripada jumlah tersebut, 157 orang adalah pengundi awal, yang bertugas sebagai anggota polis.

Kebanyakan pengundi Dun Tasik Biru adalah kalangan mereka yang berusia 40-49 tahun iaitu seramai 24.49 peratus manakala 23.43 peratus lagi berusia 50-59 tahun. Ini membayangkan laluan mudah kepada BN dalam pola pengundian pada kali ini.

Bagi Dun Marudi, harapan Entri Muran untuk mengekalkan kerusinya kali kelima berkecai apabila Dr Penguang yang juga bekas pegawai kanan kerajaan negeri dikhabarkan akan berada di tingkat 22 Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Kedua-dua calon berpotensi ini dikatakan saling bersaing sejak beberapa bulan lalu, dengan masing-masing cuba menunjukkan gelombang sokongan. Bagaimanapun beberapa sentimen tempatan serta keinginan penduduk untuk melihat “muka baharu” menyaksikan Entri Muran terpaksa berputih mata, walau disokong kuat oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pada PRN 2011, Entri Muran memperoleh majoriti 3,202 setelah mengutip 4,578 undi untuk mengetepikan tiga pencabar lain dari PKR, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan calon bebas.

Saingan kali ini menyaksikan calon BN di Marudi akan berhadapan dengan 14,858 pengundi. Daripada jumlah tersebut, 82 merupakan pemilih awal manakala seorang lagi akan mengundi pos dari luar negara.

Bakal dicabar Dr Elia Bit dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pengguang akan berhadapan 7,524 atau 50.64 peratus pengundi lelaki dan 7,334 atau 49.36 peratus pengundi perempuan. – Sarawakvoice.com

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget