KUCHING: Larangan kemasukan beberapa ahli politik pembangkang dan
aktivis dari Semenanjung Malaysia ke negeri ini adalah arahan daripada pihak
berkuasa negeri, kata Pengarah Imigresen Sarawak Ken Leben.
“Kami (Jabatan Imigresen) hanya melaksanakan arahan yang diberi oleh
pihak berkuasa negeri,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan
Imigresen di sini, semalam.
Ken menambah, larangan kemasukan tersebut juga bukan hanya tertakluk
kepada orang dari Semenanjung Malaysia tetapi juga termasuk orang dari Sabah
dan negara luar.
“Kami ada melarang orang asing daripada memasuki negeri ini termasuk
Australia.
“Orang dari Sabah juga tertakluk kepada larangan untuk masuk….kami hanya
tidak melarang warga Sarawak sahaja,” katanya.
Beliau turut mentakrifkan orang yang dilarang daripada memasuki negeri
ini sebagai orang yang tidak diingini dan bukan hanya terbatas kepada golongan
pelampau dan sebagainya.
“Jika pihak berkuasa negeri berpendapat orang itu tidak diingini
memasuki Sarawak, maka mereka akan dilarang,” katanya.
Dalam pada itu, Ken menjelaskan bahawa tiada masa khusus diberikan
kepada larangan ini namun mereka yang dilarang dapat merayu untuk masuk tetapi
ia adalah bergantung kepada pihak berkuasa negeri untuk membenarkannya.
Beliau turut enggan mendedahkan senarai orang yang tidak diingini
memasuki negeri ini.
“Saya tidak boleh mendedahkan, orang berkenaan hanya tahu bahawa mereka
berada dalam senarai hitam kami apabila mereka tiba di kaunter kami.
“Kami juga akan menasihati mereka untuk lebih baik tidak datang jika
mereka adalah orang yang tidak dikehendaki di sini,” katanya.
Menurut Ken, pada tahun ini terdapat seramai empat orang yang sudah
diarahkan balik kerana disenarai hitam sebagai orang yang tidak diingini untuk
masuk ke negeri ini.
Beliau turut menegaskan bahawa imigresen tidak akan menanggung tambang
pesawat kepada mereka yang dihantar balik.
“Sebenarnya mereka membeli tiket berulang-alik tetapi jika mereka
membeli tiket sehala, syarikat penerbangan bertanggungjawab ke atas mereka.
“Ia sudah diperuntukkan
agar syarikat penerbangan menanggung tambang mereka,” katanya. – Utusan Borneo.
Post a Comment