Perhimpunan selepas solat Jumaat itu disertai anggota dan pimpinan KEADILAN, Pakatan Harapan (PH) selain beberapa NGO serta gabungan mahasiswa.
Mereka membawa bendera Palestin serta plakad antaranya tertera tulisan ‘Selamatkan Aqsa’, ‘Day of Aqsa’ dan ‘Rakyat Malaysia bersama Palestin’.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dalam ucapannya berkata, Malaysia perlu menghantar mesej jelas kepada Amerika berhubung serangan tentera Israel ke atas masjid tersebut.
Tindakan itu katanya, bagi menunjukkan pendirian dan ketegasan Kerajaan Malaysia terhadap serangan berkenaan yang melanggari prinsip keamanan dan keadilan sejagat.
“Kita perlu menghantar mesej jelas kepada Amerika bahawa tindakan ini merupakan satu pelanggaran kepada seluruh umat Islam yang cintakan keamanan dan keadilan.
“Justeru, kita tiada pilihan lain selain terus memperjuangkan keadilan demi cita-cita kita untuk melahirkan Palestin sebagai sebuah negara yang perlu dihormati di seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen (MP) Shah Alam yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, beliau mewakili MP PH akan membawa isu kezaliman tersebut di Parlimen sesi Oktober ini.
“Saya akan membawa isu pembebasan Palestin di dalam sidang Parlimen akan datang dan saya akan mendesak agar pendekatan diwujudkan terhadap perlindungan Masjid Al Aqsa.
“Kita harap isu tergempar ini dapat dibahaskan di Parlimen sebagai suara rakyat Malaysia yang menzahirkan kebebasan dan keadilan rakyat Malaysia terhadap hak masyarakat Palestin,” katanya.
Turut sama berhimpun di Jalan Tun Razak itu, Pemuda Umno serta Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Perhimpunan tersebut berlangsung kira-kira sejam.
Dua delegasi wakil himpunan turut menyerahkan memorandum berkaitan kezaliman Israel kepada Setiausaha Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur.-Keadilan Daily
Post a Comment